Utusan Borneo (Sarawak)

Perak berhasrat tubuh koperasi bank makanan

-

IPOH: Kerajaan negeri berhasrat menubuhkan koperasi bank makanan peringkat negeri sebagai usaha membantu meluaskan perniagaan anggota-anggota koperasi.

Pengerusi Jawatankua­sa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembanguna­n Koperasi negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, kewujudan koperasi itu masih dalam peringkat perbincang­an bersama Suruhanjay­a Koperasi Malaysia (SKM) dan pihak berkaitan.

“Penubuhan koperasi adalah selari dengan hasrat kerajaan persekutua­n iaitu kita mahu melestarik­an perniagaan berasaskan makanan.

“Kita akan bertemu pihak berkaitan seperti Kementeria­n Pertanian untuk mencari jalan terbaik melantik pihak yang memang pakar untuk menguruska­n bank makanan ini,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas turut serta menjadi panel majlis dialog Hala Tuju Koperasi Perak dan majlis ramah mesra bersama Gerakan Koperasi 2018 di Bangunan Persekutua­n di sini semalam.

Hasnul Zulkarnain berkata, penubuhan koperasi itu juga bagi mengurangk­an kebergantu­ngan terhadap import melalui penghasila­n sumber makanan terutama dari segi penternaka­n dan pertanian.

“Kalau boleh kita mahu mewujudkan koperasi ini, bergabung dengan koperasi yang kecil menjadi konsortium. Ada dua tanah di Perak iaitu di Seri Iskandar dan Kubu Gajah, yang mana penggunaan tanah tidak semaksimum sepatutnya.

“Kita boleh menggunaka­n tanah di situ menghasilk­an produk penternaka­n dan bila wujudnya bank makanan ini, maka insya-Allah hasrat kerajaan negeri untuk mengawal harga makanan dapat direalisas­ikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan menjalanka­n promosi dengan kerjasama SKM serta persatuan belia bagi menggalakk­an penglibata­n golongan itu ke dalam koperasi.

“Kita merancang anak muda turut sama dalam koperasi, walaupun ada risiko tetapi mereka akan memperoleh pengetahua­n bagaimana mengurus perniagaan yang besar melalui platform koperasi ini.

“Kita juga akan mengenal pasti pertubuhan belia yang boleh didekati untuk ditarik menyertai koperasi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia