Utusan Borneo (Sarawak)

Penyokong Ortega ceroboh basilika, ganggu uskup

-

DIRIAMBA: Ratusan penyokong Presiden Nicaragua, Daniel Ortega, yang menerima tekanan memecah masuk ke dalam sebuah basilika dalam sebuah kubu kuat pembangkan­g kelmarin dan mengganggu uskup Roman Katolik yang menjadi perantara bagi proses rundingan.

Serangan itu berlaku sehari selepas sekurang-kurangnya 14 orang maut dalam satu serbuan oleh sekumpulan perusuh prokerajaa­n di kawasan- kawasan Diriamba dan Jinotepe, 20 kilometer dari kubu kuat pembangkan­g Masaya, di tenggara negara Amerika Tengah itu.

Sebelum serbuan kelmarin ke atas basilika Diriamba, puluhan penyokong kerajaan yang melaungkan slogan, ada yang melemparka­n hinaan, menghalang konvoi gereja yang menuju ke sana bersama Kardinal Leopoldo Brenes dan Duta Apostolik Stanislaw Waldemar Sommertag.

“Pembunuh”, “pembohong” dan “anak lelaki anjing betina” adalah antara hinaan yang dilemparka­n ke arah konvoi gereja, manakala penyokong kerajaan lain menjerit: “Kami mahukan keamanan” dan “tiada lagi sekatan jalan”.

Penunjuk perasaan di kawasan itu telah menutup jalan untuk menghalang kemasukan polis.

Gereja Roman Katolik yang berpengaru­h telah menjadi orang tengah di antara kerajaan Ortega dengan pembangkan­g untuk menamatkan pergolakan selama tiga bulan yang telah mengorbank­an lebih 240 nyawa.

Penunjuk perasaan mahu peletakan jawatan oleh Ortega, yang mereka tuduh memerintah dengan kuku besi.

Pemimpin gereja dikepung apabila mereka tiba di basilika Diriamba dan bergelut untuk memasuki bangunan.

Mereka datang dari ibu negara Managua untuk membantu membebaska­n se- kumpulan orang, termasuk sukarelawa­n perubatan, yang terperangk­ap di dalam basilika sejak keganasan Ahad lepas dan dikepung oleh penyokong prokerajaa­n.

Ortega, seorang bekas gerila haluan kiri, mula-mula memegang kuasa menerusi pemberonta­kan popular pada 1979 sebelum beliau tewas dalam pemilihan presiden pada 1990.

Beliau dipilih semula pada 2007 tetapi penentang menuduhnya – bersama isterinya Naib Presiden Rosario Murillo – mewujudkan pemerintah­an kuku besi yang diwarnai nepotisme dan penindasan kejam. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia