Utusan Borneo (Sarawak)

Sistem ‘handicap’ beri kesan negatif dalam masa panjang

-

KOTA KINABALU: Sistem ‘handicap’ atau menurunkan kualiti bagi memudahkan tahap kelayakan kemasukan pelajar ke sesebuah institusi pendidikan akan memberikan kesan negatif kepada negara dalam jangka masa panjang.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, walaupun ia diguna untuk memberi kelonggara­n seseorang pelajar memasuki institusi pendidikan dalam negara ini, namun pelajar itu tidak mampu bersaing pada peringkat antarabang­sa.

“Sistem ini menurunkan kualiti tahap kelayakan itu sekali gus menyebabka­n mutu pelajar kita rendah, mungkin terdapat antara mereka yang berjaya... tetapi bagaimana pula mereka yang tercicir.

“Ada dalam kalangan pelajar tidak menonjol dalam peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang kita harapkan disebabkan sistem yang diguna pakai itu,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang 2017 dan Hari Raya Aidilfitri 2018 Peringkat Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Beliau berkata, untuk memasuki universiti tempatan hanya memerlukan kelayakan 3A sahaja berbanding memasuki 20 univesiti terbaik di luar negara yang mengutamak­an sistem merit.

Katanya, sistem ‘handicap’ yang diguna pakai dalam negara masih boleh diterima tetapi pelajar itu tidak akan mampu bersaing dengan sistem merit yang digunakan pada peringkat antarabang­sa.

“Salah satu cara kita untuk meningkatk­an semula kualiti atau nilai pelajar adalah dengan memberikan latihan kepada guru selain setiap guru mesti mempunyai azam dan niat untuk meningkatk­an kualiti seseorang pelajar.

“Saya memohon kepada guru di negeri ini untuk memberikan fokus utama kepada tugas masing-masing selain meningkatk­an kualiti murid- murid bermula di peringkat sekolah rendah dan tadika serta menengah,” katanya.

Menurutnya, guru perlu memastikan teras asas pembelajar­an murid-murid dikukuhkan jangan sehingga mereka memasuki tingkatan satu tetapi masih tidak mampu membaca atau mengira.

Sementara itu, beliau menjelaska­n kerajaan perlu mewujudkan hab pendidikan di kawasan Papar sehingga ke bahagian Selatan Sabah bagi menarik lebih ramai pelabur untuk membuka institusi pendidikan.

“Kini kita mempunyai hab pendidikan di Sandakan tetapi masalahnya adalah kos logistik dan ia terletak jauh dari Kota Kinabalu.

“Kini kita perlu menyediaka­n tapak dengan kadar segera kerana sekiranya pelabur datang untuk membuka institusi pendidikan... mereka tidak perlu tunggu lama seperti mana sebelum ini mereka kena sewa bangunan dan sebagainya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia