Keperluan kemahiran IT, penjagaan anak halang ibu tunggal kembali bekerja
KUCHING: Keperluan kemahiran dalam teknologi maklumat (IT) dan penjagaan anak merupakan antara penghalang ibu tunggal di Sarawak untuk kembali bekerja.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Rosey Yunus berkata ini berdasarkan ‘Kajian Terhadap Halangan Untuk Ibu Tunggal Dengan Pendidikan Tertiari Masuk Ke Dalam Tenaga Kerja Di Bandar Sarawak’ yang dibiayai kementeriannya secara kolaboratif dengan Swinburne Teknologi dan Persatuan Ibu Universiti Tunggal Sarawak (PITSA).
Susulan itu, beliau berkata, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dengan kerjasama Swinburne University of Technology telah menganjurkan sesi dialog bersama ibu tunggal – Program Pemerkasaan Ibu Tunggal Sarawak (PIT) di empat lokasi iaitu Kuching, Miri, Bintulu dan Samarahan pada tahun lepas, yang telah disertai 533 ibu tunggal.
“Program PIT ini bertujuan membina keyakinan, kemahuan serta minat ibu tunggal selain memupuk sikap yang lebih terbuka dan aktif golongan ibu tunggal dalam masyarakat,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) semalam.
Selain itu, Rosey berkata, JWKS juga telah mengendalikan Kursus Kemahiran Asas ICT bagi ibu tunggal ( ICT4IT) yang juga merupakan salah satu hasil susulan daripada kajian tersebut membabitkan kerjasama antara JWKS dengan pertubuhanbukan kerajaan (NGO) termasuk PITSA.
“Ia bagi membantu ibu tunggal menambah dan mengasah kemahiran IT di samping menggalakkan golongan ibu tunggal menceburi bidang usahawan secara online (eUsahawan),” katanya.
Selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekonomi digital, beliau berkata, kementerian melalui JWKS telah memperkenalkan program Wanita dalam Keusahawanan Digital (WIDE) untuk usahawan wanita yang terlatih dari Pusat Latihan Wisma Wanita (PLWW) yang baharu memulakan perniagaan.
“Tahun lepas, seramai 33 peserta telah menjalani program WIDE dan ia memberi manfaat dalam membentuk wanita menjadi usahawan digital dan seterusnya dapat menjana pendapatan yang lebih mantap,” katanya.
Rosey menambah, JWKS menerusi PLWW juga telah membuka peluang kepada para wanita meningkatkan taraf sosioekonomi dengan menganjurkan kursus kemahiran seperti Kursus Jahitan Kreatif, Kursus Kecantikan, Kursus Masakan dan Kursus Spa dan Urut.
Pada masa sama, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) turut membantu golongan ibu tunggal menyertai program Usahawan Mikro Kebajikan, membabitkan 771 orang bagi tempoh 2014 hingga Mei tahun ini.
Beliau berkata, mereka akan dipertimbangkan geran pelancaran maksimum RM5,000 seorang bagi melaksanakan perniagaan dan akan dibimbing untuk tempoh dua tahun.
Pada April lalu, katanya, JKMS telah mengorak langkah bagi menggerakkan mereka melalui Koperasi Usahawan Mikro Kebajikan Bhd yang baharu sahaja diluluskan.