Sentoria meterai SPA beli tanah RM20.25 juta
KUALA LUMPUR: Sentoria Group Bhd (Sentoria) dan anak syarikat milik penuhnya, Sentoria Morib Bay Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Seriemas Development Sdn Bhd bagi pembelian dan pindah milik tanah bernilai RM20.25 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata, SPA itu adalah berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian hak pembangunan (DRA).
Tanah seluas 60.7 hektar di Kuala Langat, Selangor itu meliputi empat komponen – taman tema air, pusat peranginan dan konvensyen, hotel butik dan tanah taman safari.
“Pembelian tanah itu akan membolehkan Sentoria meningkatkan tanah simpanannya dan menjadikannya pada kedudukan lebih kukuh dalam pembangunan hartanah, selain melengkapi projek pembangunan Sentoria Morib.
“Tanah simpanan yang luas dan keadaan persekitaran itu menawarkan peluang untuk kumpulan menyertai projek pembangunan yang berpotensi, khususnya perumahan mampu milik di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” katanya.
Sentoria menyifatkan pembelian itu yang akan dibiayai oleh pinjaman berjangka RM13.5 juta dan dana yang dikumpul secara dalaman sebanyak RM6.75 juta, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan selain meningkatkan nilai pemegang saham bagi jangka sederhana hingga jangka panjang. — Bernama