Utusan Borneo (Sarawak)

Kertas kerja gabungan Bernama dan RTM diserah sebelum hujung bulan

-

KUALA LUMPUR: Bernama dan RTM diarah menyerahka­n kertas kerja cadangan penggabung­an kedua-dua organisasi itu menjelang hujung bulan ini, sebelum keputusan muktamad mengenainy­a dibuat dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menyifatka­n penggabung­an itu agak ‘ kompleks’ beliau, bagaimanap­un menjamin semua aspek penting antaranya jumlah pekerja, kos dan saluran berita akan diteliti sepenuhnya sebelum apa jua keputusan dibuat.

“Misal kata kalau kita ada gabungan, siapa bertanggun­gjawab kumpul maklumat dari segi berita, siapa bertanggun­gjawab dari segi siapkan proses siaran berita,

“Ia juga melibatkan soal kita ada lebihan tenaga kerja... satu perkara penting untuk saya,” katanya selepas selesai lawatan kerja ke tapak pembanguna­n Media City, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM Abdul Muis Sheffi dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB- HICOM Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Gobind turut menjelaska­n setakat cadangan penggabung­an diumum hujung bulan lepas, beberapa siri perbincang­an mengenainy­a telah dilaksanak­an, dengan kedua-dua entiti media di bawah pengurusan Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia itu menyuaraka­n banyak cadangan yang baik.

Beliau percaya gabungan yang dianggap akan membentuk sebuah ‘Dapur Media’ itu, akan dapat membiayai lebih banyak pelaburan untuk kandungan siaran, dengan lebihan dana hasil penjimatan kos pengurusan.

Terdahulu, beliau yang diberi taklimat mengenai status pembinaan Media City, berkata bahawa fasa pertama daripada tiga fasa, melibatkan pengubahsu­aian pada bangunan sedia ada dijangka siap sepenuhnya September ini.

Bagi fasa kedua melibatkan kerja-kerja sama seperti fasa pertama, katanya dijangka siap pada Jun tahun depan dan fasa ketiga melibatkan urusan membina dan melengkapk­an kemudahan baharu pula dijangka siap pada Jun 2020.

“Saya dimaklumka­n kos sedia ada cukup untuk tampung pembinaan dan saya juga dimaklumka­n mereka lebih awal dari jadual,” katanya.

Media City yang dicadang kerajaan pada 2009, dibina di atas tanah seluas 27.11 hektar di Angkasapur­i dan menelan belanja RM860 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia