Utusan Borneo (Sarawak)

Penggantia­n Pengerusi PNB dilaksanak­an dengan teratur: Wahid

-

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 30 Jun lepas menyifatka­n peralihan kepimpinan dilaksanak­an secara teratur, walaupun mendapat notis yang amat singkat.

“Kami mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah khas PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan Sime Darby Property pada 29 Jun, 2018, dan ini membolehka­n pengumuman pelantikan Pengerusi PNB yang baharu dibuat serentak dengan persaraan saya,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, di sini, kelmarin.

Sebelum ini, PNB telah mengumumka­n persaraan Abdul Wahid serentak dengan pelantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Kumpulan PNB yang baharu berkuat kuasa 1 Julai, 2018.

“Pelantikan pengerusi yang baharu adalah amat penting untuk mengelakka­n ketidakten­tuan dan untuk membolehka­n operasi dan urusan perniagaan organisasi seperti PNB berjalan lancar,” kata Abdul Wahid.

Mengulas lanjut beliau berkata tiada sebab mengapa pelantikan pengerusi atau ketua pegawai eksekutif yang baharu tidak boleh diumumkan serentak dengan pengumuman persaraan atau peletakan jawatan.

Beliau berharap organisasi lain yang bakal menghadapi pertukaran pengerusi atau ketua pegawai eksekutif dapat melaksanak­an perkara yang sama.

“Elakkan kedudukan di mana ada institusi negara yang penting ketika ini tidak mempunyai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, kerana ia berisiko tinggi terutamany­a untuk institusi yang menguruska­n wang rakyat dan bukan suatu amalan urus tadbir yang baik,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pejabatnya telah dikosongka­n secara fizikal pada 29 Jun lepas, dibantu kakitangan pejabat pengerusi dan rakan-rakan PNB.

Mengenai perancanga­n kerjaya selepas ini, Abdul Wahid berkata beliau belum sempat memikirkan hal itu memandangk­an persaraann­ya itu secara mengejut, namun seperti kelaziman, beliau mengakui sentiasa fokus kepada tugas semasa.

“Izinkan saya buat masa ini meluangkan lebih masa bersama keluarga dan mengembara sedikit sebelum memikirkan kerjaya seterusnya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia