Utusan Borneo (Sarawak)

Dua wanita tempatan ditahan cuba seludup petrol ke negara jiran

-

IPOH: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak menahan dua individu termasuk seorang wanita warga tempatan selepas didapati cuba menyeludup keluar petrol ke negara jiran di Pengkalan Hulu, Gerik, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri Shamsul Nizam Khalil berkata kedua-dua suspek berumur 31 dan 44 tahun itu ditahan masing-masing bersama kereta jenis Mercedes Benz yang dipandu mereka untuk membeli petrol RON95 di sebuah stesen minyak pada kira-kira jam 11.45 pagi.

Katanya hasil pemerhatia­n dan risikan sejak dua minggu lalu mendapati beberapa kereta jenis Mercedes Benz menggunaka­n nombor pendaftara­n tempatan sering datang ke stesen minyak tersebut bagi mendapatka­n bekalan petrol RON95 dipercayai untuk dijual di negara jiran.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua individu terbabit membeli petrol RON95 di stesen minyak itu sekurangku­rangnya tiga kali pembelian sebanyak 60 hingga 70 liter sehari untuk setiap kereta dan hanya menggunaka­n pam yang sama.

“Semasa ditahan, sebanyak 75 liter petrol RON95 bernilai lebih RM150 serta dua kereta terbabit disita,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shamsul Nizam berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol atau diesel dalam kuantiti banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia manakala tangki kenderaan yang digunakan telah diubah suai.

“Hasil siasatan juga mendapati sebuah daripada kenderaan yang disita pernah diambil tindakan tahun lepas kerana disyaki membuat tangki tambahan pada kenderaan,” katanya.

Menurutnya aktiviti berkenaan dipercayai aktif sejak dua bulan lepas bagi mengaut keuntungan berikutan harga petrol di negara ini lebih rendah berbanding di Thailand iaitu RM4.14 seliter dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia