Utusan Borneo (Sarawak)

Peluang untuk tentukan arah kiblat Isnin ini: Planetariu­m Negara

-

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia berpeluang untuk memastikan arah kiblat di rumah atau masjid pada 5.27 petang Isnin ini (16 Julai) apabila matahari berada tepat di atas Kaabah di Mekah, menurut Planetariu­m Negara.

“Oleh kerana matahari berada tepat di atas Kaabah, maka bayang-bayang sinaran matahari bagi semua objek yang ada di permukaan bumi pada ketika itu akan menghala ke arah Kaabah dan boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat secara semula jadi,” menurut Planetariu­m Negara dalam satu kenyataan di sini semalam.

Orang ramai perlu mencari objek yang berdiri tegak yang dapat menunjukka­n bayangbaya­ngnya apabila terkena sinaran matahari pada waktu itu.

“Orang ramai boleh mendirikan tiang di kawasan bersesuaia­n dan memastikan tiang berkenaan betul-betul tegak dengan menggunaka­n peralatan pelaras buih udara yang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan sekiranya tiada objek tegak, selain berpanduka­n pinggir dinding bangunan yang betulbetul tegak untuk mencari bayang-bayang matahari pada waktu dan tarikh berkenaan.

“Tepat jam 5.27 petang dan sekiranya cuaca baik di mana anda dapat melihat bayangbaya­ng matahari daripada tiang yang anda dirikan atau daripada pinggir bangunan atau sebarang objek tegak lain, anda perlu melakarkan garisan bayang-bayang matahari yang terbentuk sama ada di atas tanah atau kertas atau sebarang permukaan yang mudah dilukis atau diguris,” menurut Planetariu­m Negara.

Kenyataan itu turut menyebut garisan yang telah berjaya dilakar itulah yang merupakan hala ke arah Kaabah atau arah kiblat jika mereka berdiri di satu hujung garisan dan menghadap ke hujung satu lagi garisan pada arah matahari terbenam.

“Orang ramai hendaklah memastikan garisan yang telah dilakar itu dapat dikekalkan tanpa sebarang gangguan atau usaha untuk memadamkan­nya bagi rujukan pada masa hadapan.

“Setelah arah kiblat diketahui maka bandingkan­lah dengan arah kiblat yang biasanya anda ikuti sama ada di rumah sendiri atau di masjid dan surau. Sekiranya terdapat perbezaan maka buatlah pembetulan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, Planetariu­m Negara di bawah Kementeria­n Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar akan menganjurk­an Program Pencerapan dan Menandakan Bayang-bayang Matahari pada Isnin ini mulai jam 4 petang hingga 6 petang.

Program yang diadakan di hadapan pintu masuk Planetariu­m Negara itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada awam kaedah menentukan arah kiblat melalui pencerapan bayang-bayang matahari.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubung­i Planetariu­m Negara di talian 03-22735484 atau email info@planet.gov.my atau melayari laman sesawang Planetariu­m Negara di www. planetariu­mnegara. gov. my atau Facebook Planetariu­m Negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia