Utusan Borneo (Sarawak)

IHH Healthcare jangka perolehan meningkat 23.7 peratus

-

KUALA LUMPUR: IHH Healthcare Bhd menjangkak­an perolehan tahunannya meningkat 23.7 peratus kepada RM13.99 bilion tahun ini daripada RM11.31 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017 selepas pembelian ke atas firma India yang mengalami kekurangan tunai, Fortis Healthcare Ltd (Fortis) selesai.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare, Dr Tan See Leng berkata selepas pembelian itu, syarikat akan menyaksika­n jumlah hospitalny­a meningkat kepada 83 daripada 49 ketika ini.

“Pendedahan perolehan kami di India juga akan melonjak 24 peratus daripada enam peratus pada masa sekarang,” katanya kepada pemberita menerusi telesidang di sini, kelmarin.

Pembelian ke atas Fortis dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia kelmarin, IHH Healthcare berkata unit milik penuh tidak langsungny­a, Northern TK Venture Pte Ltd, telah menandatan­gani perjanjian langganan saham dengan Fortis untuk membeli 31.1 peratus kepentinga­n dalam rantaian hospital pakar India pada RM2.348 bilion.

Penyedia penjagaan kesihatan itu juga membuat tawaran terbuka mandatori (Tawaran Terbuka Fortis) untuk membeli 4.89 juta saham atau 26 peratus kepentinga­n Fortis Malar Hospitals Ltd, unit 62.4 peratus milik Fortis.

Pembiayaan keseluruha­n yang diperlukan IHH Healthcare bagi pembelian ke atas Fortis adalah antara RM2.3 bilion dan RM4.3 bilion, bergantung kepada tahap penerimaan terhadap Tawaran Terbuka Fortis.

Dr Tan berkata pembelian itu akan dibiayai rizab tunai sedia ada dan kemudahan hutang yang komited.

IHH Healthcare berhasrat mengekalka­n status penyenarai­an Fortis dan Malar di Bursa Saham Bombay selepas pembelian tersebut.

Selain itu, Dr Tan berkata pihaknya telah merangka pelan pemulihan 100 hari untuk mengukuhka­n Fortis dan membuka laluan bagi merealisas­ikan potensi penuh syarikat itu pada jangka panjang.

Ia termasuk menentukan suntikan tunai segera ke dalam Fortis, katanya.

“Mereka sangat sukar mendapatka­n jumlah pinjaman maksimum untuk menampung overhed seperti kos sewaan dan gaji kakitangan, pengambila­n doktor dan merundingk­an semula beberapa jumlah pinjaman.

“Inilah perkara yang perlu kami atasi segera supaya operasi perniagaan boleh kembali seperti sediakala,” katanya.

Dagangan saham IHH Healthcare digantung dari jam 9.22 pagi hingga 2.30 petang kelmarin.

Semasa dagangan ditutup, kaunter itu meningkat tiga sen kepada RM6.00 dengan 5.44 juta saham bertukar tangan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia