Utusan Borneo (Sarawak)

Duda berdepan tuduhan melakukan pecah rumah dan curi

-

MIRI: Seorang duda dijatuhi hukuman penjara 110 bulan dan denda RM5,000 atau tujuh bulan penjara serta satu sebatan rotan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan pecah rumah dan curi serta mencuri kenderaan.

Yap Kian Yiep menghadapi dua tuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan satu tuduhan mengikut Seksyen 379A kanun sama.

Seksyen 457 memperuntu­kkan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua- duanya manakala Seksyen 379A boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n kes pertama, tertuduh didapati melakukan pecah rumah dan curi dengan mencuri pelbagai jenis barang bernilai RM6,263.52 kepunyaan sebuah pasar raya dan diletakkan di bawah jagaan Gelanggang Bau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 4.40 pagi pada 23 Jun lalu di Desa Senadin di sini.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh didapati melakukan kesalahan serupa dengan memecah masuk sebuah apartmen kepunyaan Wong Hin Hung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh jam 5.30 petang pada 19 Jun lalu di sebuah apartmen di kawasan Pulau Melayu di sini.

Sementara dalam kes ketiga, tertuduh didapati telah mencuri sebuah kenderaan kepunyaan seorang wanita.

Yap didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.30 pagi, pada 9 Jun lalu di sebuah kondiminiu­m, Jalan Tanjung Lobang di sini.

Bagi kes pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 30 bulan, penjara tiga tahun lapan bulan dan sekali sebatan bagi kes kedua serta penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau tujuh bulan penjara bagi kes ketiga.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong dan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa. Manakala tertuduh tidak diwakili.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia