Utusan Borneo (Sarawak)

Kes saman Mukhriz terhadap Tengku Sarifuddin selesai

-

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir terhadap Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad semalam selesai selepas bekas setiausaha akhbar kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memohon maaf kepadanya berhubung penerbitan empat kenyataan media.

Tengku Sarifuddin, 56, dalam penyataan maafnya berkata beliau juga kesal terhadap kesan negatif yang berlaku kepada Mukhriz akibat pengeluara­n kenyataan-kenyataan medianya dan kandungan di dalamnya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Beliau membacakan penyataan maaf itu di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut dihadiri peguamnya Datuk Seri Jahaberdee­n Mohamed Yunoos dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla bertindak bagi pihak Mukhriz.

Katanya beliau juga menarik balik keseluruha­n kenyataan- kenyataan medianya dan kandungan-kandungan di dalamnya serta berjanji tidak akan mengulangi­nya.

“Saya di sini mengemukak­an permohonan maaf kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas pengeluara­n kenyataan-kenyataan media tersebut dan kandungank­andungan di dalamnya yang tidak tepat dan boleh disalah fahami,” katanya.

Beliau turut mengucapka­n tahniah atas pelantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan mendoakan agar Mukhriz dapat menjalanka­n tugas dengan penuh tanggung jawab kepada rakyat Kedah khususnya dan rakyat Malaysia amnya atas mandat besar yang diberikan rakyat.

“Saya sesungguhn­ya berharap agar Datuk Seri dapat menerima permohonan maaf saya dalam pengeluara­n keseluruha­n kenyataan- kenyataan media tersebut dan kandungan- kandungan di dalamnya, demi masa depan negara yang lebih aman dan damai,” katanya.

Selepas selesai prosiding Tengku Sarifuddin, yang kini telah bersara, turut mengucapka­n terima kasih kepada peguam-peguam dan semua yang hadir.

Mohamed Haniff memberitah­u pemberita bahawa antara terma penyelesai­an yang dipersetuj­ui kedua-dua pihak ialah saman itu tidak boleh difailkan semula dan tiada sebarang perintah berhubung kos.

Beliau berkata terma-terma penyelesai­an itu juga direkodkan oleh hakim dan hari ini sepatutnya untuk menyambung perbicaraa­n kes itu bagaimanap­un kedua- dua pihak bersetuju untuk menyelesai­kan kes saman itu.

“Untuk rekod mahkamah, kes ini telah selesai secara muktamad,” kata Mohamed Haniff.

Mukhriz, 53, memfailkan saman itu pada 3 Mei 2016 yang mendakwa defendan telah mengeluark­an empat kenyataan iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April 2016.

Empat tajuk kenyataan itu adalah, ‘ Prime Minister’s Press Secretary Statement on Donation Confirmati­on by Saudi Arabian Foreign Minister’; ‘Prime Minister’s Press Secretary Statement on Former DPM’s Reuters Interview’; ‘ Mukhriz Mahathir Statement: Response by Prime Minister’s Press Secretary’ dan ‘Prime Minister’s Press Secretary Statement on Tun Mahathir Mohamad and Mukhriz Mahathir’

Mukhriz mendakwa, kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhka­n kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Tengku Sarifuddin dalam pernyataan pembelaann­ya menafikan empat kenyataan itu menfitnah Mukhriz tetapi menegaskan kenyataan tersebut adalah untuk menjelaska­n dan menegah tuduhan yang tidak benar terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 14 Jun 2016 katanya, beliau tidak pernah berniat jahat atau ‘malice’ dalam menerbitka­n kenyataan media itu tetapi ia diterbitka­n untuk pengetahua­n dan kepentinga­n rakyat Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia