Utusan Borneo (Sarawak)

Dua buruh ditahan, dadah bernilai RM8,280 dirampas di Sungai Petani

-

SUNGAI PETANI: Dua buruh lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan manakala dadah jenis heroin seberat 405 gram yang dianggarka­n bernilai RM8,280, dirampas dalam serbuan jam 10 pagi di sebuah rumah teres di Bandar Mutiara dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Sazalee Adam berkata, dalam serbuan itu, polis menemui satu beg plastik hitam mengandung­i 414 peket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk dadah di atas lantai di bilik utama rumah berkenaan.

“Polis menahan dua lelaki tempatan, masing- masing berusia 29 dan 24 tahun direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 21 Julai bagi membantu siasatan.

“Sementara itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 29 tahun positif dadah jenis Methamphet­amine, manakala suspek berusia 24 tahun positif ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, semalam.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek aktif dengan aktiviti pengedaran dadah sejak lima bulan lepas, dan kawasan tumpuan mereka ialah sekitar kawasan Flat Paya Nahu.

“Suspek berusia 29 tahun didapati mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 3( 1) Akta Penagihan Dadah 1983, manakala suspek berusia 24 tahun mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Paket kecil dadah terbabit dipercayai dijual pada harga RM20 setiap satu..polis masih menyiasat dari mana bekalan dadah ini diperoleh dan sama ada ia berkaitan dengan sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Katanya lagi, kawasan Flat Paya Nahu sering menjadi tumpuan pengedaran dadah, yang mana sebanyak 59 kes membabitka­n 63 tangkapan direkodkan dari 1 Jan sehingga 15 Julai tahun ini, melibatkan rampasan 640.47 gram dadah jenis heroin, 36.6 gram syabu, 2.5 gram ganja dan 500 mililiter air ketum. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia