Luahan hati
KEHILANGAN seseorang yang tersayang memang amat menyedihkan, lebih-lebih lagi kehilangan suami tercinta. Apatah lagi bila semuanya berlaku dalam sekelip mata tanpa disangka dan diduga.
Belum puas hidup bersama, terpaksa melalui hari-hari mendatang tanpa teman hidup. Hilang sudah tempat bermanja, mengadu nasib dan bergantung harap.
Rasa rindu yang membara tetapi hanya mampu dipendam. Kehilangan yang sangat besar sehingga dunia rasa begitu sepi tanpa kehadirannya. Begitulah yang ingin disampaikan oleh Nora Ariffin atau lebih dikenali sebagai Nora menerusi single terbarunya ‘Ada Dalam Tiada’.
Lagu ini merupakan dedikasi teristimewa Nora untuk arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, seorang komposer dan penerbit terkenal yang meninggal dunia pada 24 Mac tahun lalu akibat serangan jantung.
Sesuai dengan lagu luahan hatinya sendiri yang menceritakan keperitan dan kesedihannya sebagai seorang isteri yang sentiasa merindui dan mendoakan insan yang pernah berkongsi hidup dengannya selama 25 tahun, Nora menyatakan lagu ini adalah yang paling peribadi pernah dia nyanyikan.
“Saya mencurahkan sepenuh jiwa dan raga ketika merakamkan lagu ini. Lebih menyedihkan lagi, ini merupakan pertama kali juga saya masuk ke studio rakaman tanpa kehadiran arwah suami,” katanya.
Umum mengetahui bahawa selain bergelar suami, Johan juga merupakan antara insan pertama dalam industri muzik yang membimbing Nora dalam merencana karier seninya sejak awal kemunculannya pada tahun 1994.
‘Ada Dalam Tiada’ merupakan hasil ciptaan bersama komposer Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen manakala senikatanya ditulis oleh penulis lirik tersohor iaitu Habsah Hassan.
Cukup terkesan dengan lirik sentuhan Habsah Hassan, Nora berkata,“Sebenarnya saya sendiri sukar untuk menjelaskan dengan katakata apa yang saya rasa selama ini. Tetapi Habsah Hassan bukan sahaja dapat menterjemahkan perasaan saya dengan begitu baik sekali malah ianya dilakukan dalam bentuk senikata yang indah. Saya turut menangis bila pertama kali saya membaca lirik tersebut.”
Pemilihan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen yang sinonim dengan penciptaan melodi mendayu-dayu digandingkan dengan senikata bermadah Habsah Hassan, dan nyanyian penuh jiwa Nora berjaya menghasilkan karya yang dijangka mampu mengusik hati pendengar.
Lagu ‘Ada Dalam Tiada’ ini merupakan lagu baru yang turut dimuatkan di dalam album ‘Tribute 30 Tahun Johan Nawawi’.
Album ‘Tribute 30 Tahun Johan Nawawi’ ini sangat dekat di hati Nora kerana lagu ‘Bidadari’ yang turut dimuatkan dalam album itu adalah lagu terakhir ciptaan dan nyanyian solo Allahyarham sendiri, iaitu dua bulan sebelum beliau pergi.
‘Bidadari’ juga tidak pernah diperdengarkan di khalayak sebelum ini.
Selain itu, Allahyarham berhasrat supaya Nora merakamkan semula lagu ‘Hanya Satu’ yang juga dimuatkan di dalam album ini dengan susunan muzik yang baru oleh Mac Chew, namun Allahyarham tidak sempat untuk mendengar ‘final mixing’ bagi lagu ini.
Album ini merupakan impian Allahyarham sendiri untuk menjadikan sebuah naskhah kompilasi lagulagu ciptaan beliau.
Paling istimewa, lagu ‘Perasaanku’ yang dinyanyikan oleh Azman Abu Hassan digubah semula dan diberi tajuk baru iaitu ‘Perasaanku 2017’ yang dinyanyikan semula oleh rakanrakan serta adik beradik Allahyarham Johan.
31 lagu-lagu dalam Album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi ini dipilih sendiri oleh Nora dan dikemukakan kepada Warner Music Malaysia berdasarkan lagu-lagu yang hit dan sinonim dengan Johan Nawawi.
Album terbitan Johan Nawawi Sdn Bhd dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.