Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat wanita dikerat enam warga Bangladesh: Ketua Polis KL

-

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita yang dikerat enam serta ditemui di dalam dua beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak pada 5 Julai lepas merupakan warga Bangladesh.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa berusia 29 tahun itu turut mempunyai suami dikenali sebagai Md Shahzada Saju, 37.

Katanya, polis sedang mengesan suami mangsa yang juga warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kematian isterinya itu.

“Polis kini sedang mengesan seorang saksi iaitu suami mangsa bagi membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bukit Jalil di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya lelaki berkenaan yang pernah bekerja di kedai makan di ibu negara kini berada di Johor.

“Pasport milik mangsa juga dipercayai ada bersama suaminya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubung­i ASP Faizal Abdullah di talian 012-4834439 atau DSP M.Gunalan (0193114418).

Pada 5 Julai lepas, seorang gelandanga­n wanita yang tinggal berhampira­n lokasi penemuan mayat itu membuat laporan polis di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian yang mencurigak­an.

Susulan laporan itu, polis menemui anggota manusia yang dibungkus dengan dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada dua beg pakaian berjenama ‘ Power Polo’ dan ‘USA Polo’ pada jarak kira-kira 20.6 meter antara satu sama lain.

Polis turut menemui loket dengan tulisan ‘Allah’ dalam huruf jawi dan seutas rantai leher pada mayat wanita itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia