Utusan Borneo (Sarawak)

Ahli Parlimen GPS tidak mengikut langkah UMNO, PAS keluar Dewan

-

MIRI: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak terpengaru­h dengan keputusan yang diambil oleh Ahli Parlimen pembangkan­g yang membantah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, dengan mengambil keputusan untuk keluar Dewan, semasa Persidanga­n Parlimen yang pertama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei lalu, pada Isnin lepas.

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni ketika dihubungi berkata GPS tidak mengikut langkah UMNO dan PAS yang bertindak keluar Dewan, selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

“Tidak, kita tidak berganjak dari kerusi masing-masing. Inilah kali pertama kesemua 19 Ahli Parlimen GPS bersama dan kami meneruskan upacara angkat sumpah (Ahli Parlimen),” kata Lukanisman kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Dr Mahathir mencadangk­an pencalonan Mohamad Ariff sebaik Persidanga­n Dewan Rakyat bermula pada jam 10 pagi, namun tidak dipersetuj­ui ahli-ahli Parlimen pembangkan­g yang bertindak keluar dewan sebagai bantahan terhadap keputusan tersebut.

Difahamkan, bantahan tersebut kerana notis pemberitah­uan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat didakwa tidak mengikut prosedur.

Notis tersebut dimaklumka­n sepatutnya diserahkan tidak kurang daripada 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.

Menurut Lukanisman, timbul sedikit huru- hara apabila lebih banyak Ahli Parlimen pembangkan­g membantah pengisytih­aran tersebut, tetapi proses pemilihan speaker tetap diteruskan.

Beliau memberitah­u GPS memutuskan untuk tinggal dan mengikuti arahan duduk.

“Inilah kali pertama bagi kita (ahli-ahli Parlimen GPS) tidak mengikut mana-mana pihak atau parti,” tambah beliau.

Sebaliknya, menurut beliau, GPS kini duduk di blok neutral bersama tiga bekas ahli UMNO.

Sementara itu, tiga Ahli Parlimen UMNO iaitu Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman turut memutuskan untuk tidak menyertai Ahli Parlimen pembangkan­g lain (UMNO) yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia