Utusan Borneo (Sarawak)

Bapa dan anak-anak jadikan rumah sebagai sarang penagihan dadah

-

BALING: Seorang ibu tunggal anak satu berusia 21 tahun dan empat anggota keluarga termasuk bapanya yang menjadikan rumah mereka sebagai sarang penagihan dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) awal semalam.

Ketua AADK Daerah Baling, Mohamad Nasir Md Radzi berkata, serbuan tersebut dilakukan di kediaman keluarga itu di Kampung Carok Machang, Kuala Ketil sekitar jam 1 pagi menerusi Ops Cegah.

Empat beradik berusia antara 18 hingga 28 tahun berjaya dicekup manakala bapa mereka berusia lingkungan 40-an yang juga disyaki penagih dadah sempat melarikan diri.

“Lima sekeluarga yang terdiri daripada seorang bapa dan empat anaknya iaitu tiga lelaki berusia 18, 23 dan 28 tahun serta anak perempuan berumur 21 tahun itu dipercayai menagih dadah jenis opiat dan Methamphet­amine sejak dua hingga tiga tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Serbuan di rumah tersebut turut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang merupakan anak wanita berkenaan.

“Empat beradik yang merupakan penganggur ini menjadikan rumah mereka sebagai sarang untuk menagih dadah dan kegiatan itu dikatakan mengganggu ketenteram­an awam selain berlaku kes kecurian di kawasan sekitar,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah dan mereka ditahan di Pusat Tahanan Reman AADK dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998.

Dalam operasi itu, turut ditahan lima lagi individu disyaki penagih dadah berusia antara 18 hingga 30 tahun di sekitar Kuala Ketil, Kampung Carok Machang, Kampung Ketemba dan Kampung Bukit Tinggi di Kupang.

“Empat daripada mereka positif dadah jenis morfin dan Methamphet­amine manakala seorang lagi negatif dan dibebaskan,” katanya. — Bernama

Lima sekeluarga yang terdiri daripada seorang bapa dan empat anaknya iaitu tiga lelaki berusia 18, 23 dan 28 tahun serta anak perempuan berumur 21 tahun itu dipercayai menagih dadah jenis opiat dan Methamphet­amine sejak dua hingga tiga tahun lalu. Mohamad Nasir Md Radzi Ketua AADK Daerah Baling

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia