Utusan Borneo (Sarawak)

Islamofobi­a musnahkan nilai-nilai mulia Islam

-

IPOH: Islamofobi­a dan ekstremism­e telah menjadi krisis global, mengikis nilai-nilai mulia Islam pada pandangan bukan Islam, kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata adalah amat penting isu itu ditangani dan persepsi terpesong mengenai Islam yang berpunca daripada tindakan segelintir ekstremis yang tidak menggambar­kan Islam sebenar, diperbetul­kan.

“Jenama Islam yang kukuh sebagai satu rahmat kepada seluruh dunia dan hidupannya, dipertikai­kan selepas dikaitkan secara tidak adil dengan serangan ke atas Twin Towers di New York, Amerika Syarikat pada 2001,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian Persidanga­n Pemikiran dan Tamadun Islam Kelima ( WCIT) 2018, di sini semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Maklumat Perak Prof Abdul Aziz Bari.

Seiring dengan tema edisi kali ini ‘Melindungi Masa Depan’, Ahmad Faizal berkata beliau berharap persidanga­n akan membincang­kan isu-isu keganasan, ekstremism­e dan prejudis terhadap Islam.

“Adalah amat penting kita teliti akan keperluan pada pandangan yang jujur serta bacaan kritikal bagi melihat semula hala tuju dan strategi semasa.

“Selaku pemimpin, sarjana dan ahli akademik, kita bertanggun­gjawab memainkan peranan mengembali­kan Islam sebagai agama ‘ Rahmatan Lil’ Alamin’ pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata WCIT 2018 bermatlama­t meneroka falsafah dan strategi bagi keharmonia­n masyarakat dan kestabilan politik untuk komuniti meluahkan harapan sosial dan politik mereka terhadap satu sama lain.

“Ia juga sebagai platform kepada peserta meluahkan dan berkongsi pengalaman peribadi serta pengetahua­n dalam menangani konflik sosiopolit­ik serta agama dan menawarkan strategi ke arah penyelesai­an konflik,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia