Utusan Borneo (Sarawak)

Sukan Asia: Skuad layar sasar ulangi pencapaian di Incheon

-

KUALA LUMPUR: Sekurang- kurangnya sebutir pingat emas mampu diraih skuad pelayaran kebangsaan sekali gus mengulangi pencapaian di Incheon, Korea Selatan pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi optimis sasaran satu pingat emas itu adalah realistik berdasarka­n tahap kesediaan selain persiapan rapi yang dilakukan kem pelayaran negara sejak lebih tujuh bulan lalu.

“Hari ini kita berjumpa dan mengadakan perbincang­an mendalam bersama Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM) dan saya sangat berpuas hati dengan segala persiapan dilakukan mereka dalam menghadapi cabaran pada Sukan Asia 2018.

“Setelah diteliti, dengan segala persediaan yang dilakukan kem pelayaran negara, mereka berpotensi sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas di Indonesia untuk mencapai prestasi pada edisi empat tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi perjumpaan bersama wakil persatuan dan atlet pelayaran di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPM, Mazlan Othman berkata kelas ‘ Laser 4.7’ yang merupakan salah satu daripada empat kelas disertai kontinjen negara berpotensi besar menyumbang­kan pingat emas.

“Ada empat kelas yang berpotensi untuk kita mendapatka­n emas iaitu ‘Laser 4.7’, ‘ Laser Standard’, ‘Laser Radial’ dan ‘Double Handed Dinghy 470’, namun yang paling cerah menerusi ‘Laser 4.7’.

“Ia kerana atlet negara (Muhammad Fauzi Kaman Shah) yang akan beraksi dalam kelas itu menduduki ranking kedua dunia. Jadi kita mengharapk­an prestasi yang baik dapat dipamerkan beliau pada temasya itu nanti,” katanya.

Skuad negara akan menyertai Kejohanan Perahu Layar Dunia 2018 di Aarhus, Denmark bermula Khamis ini dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain sebagai persediaan terakhir menjelang Sukan Asia 2018.

Sebagai rekod, skuad pelayaran negara berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi gandingan Ahmad Syukri Abdul Aziz-Mohamad Faizal Norizan dalam acara ‘two person dinghy 420’ serta dua perak, masing-masing disumbangk­an Khairulniz­am Mohd Afendy dan Nuraisyah Jamil-Umi Norwahida Sallahuddi­n dalam kategori wanita di Incheon. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia