Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga warga Indonesia antara tujuh ditahan kerana aktiviti pengganas: KPN

-

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tujuh individu termasuk tiga warga Indonesia kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas menerusi beberapa operasi di Terengganu, Selangor, Perak dan Johor dalam tempoh enam hari sehingga Selasa lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tangkapan pertama pada 12 Julai lalu di Terengganu melibatkan seorang peniaga warga Indonesia berusia 26 tahun yang di- percayai berbaiah dengan pemimpin tertinggi Negara Islam Indonesia (NII) di Bandung, Indonesia.

Beliau berkata suspek telah menjalani beberapa siri latihan ketenteraa­n NII di negara jiran itu dari 2015 hingga 2018 manakala isterinya warga tempatan turut berbaiah dengan pemimpin sama dan pasangan terbabit merancang untuk ke Syria bersama anak-anak mereka menyertai Daesh.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan kedua pada hari yang sama di Petaling Jaya melibatkan seorang lagi warga Indonesia berusia 27 tahun yang mengaku terbabit dengan Daesh dan menyimpan 100 video serta 90 gambar Daesh dalam telefon bimbitnya.

“Lelaki itu turut mempromosi Daesh di Facebook dengan memuat naik gambar dan video kumpulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata tangkapan ketiga pada 14 Julai di Ipoh, Perak juga melibatkan seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun yang bekerja sebagai operator kilang dan mengaku mempunyai hubungan dengan seorang anggota kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang terlibat dalam pembunuhan seorang pegawai polis negara itu pada 10 Mei lepas di Markas Brimob, Jawa Barat, Indonesia.

“Tangkapan keempat dan kelima pada 16 Julai di Johor melibatkan dua warga tempatan berusia 24 tahun yang terdiri daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai juruteknik dan seorang wanita yang menganggur. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia