Utusan Borneo (Sarawak)

Waris penumpang MH370 mohon dokumen berkaitan nahas pesawat MH370

-

KUALA LUMPUR: Lima waris kepada tiga penumpang MH370 memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya Mahkamah Tinggi membatalka­n keputusan kerajaan terdahulu yang mengklasif­ikasikan beberapa dokumen berkaitan nahas pesawat itu di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dokumen- dokumen itu ialah rakaman atau transkrip komunikasi berkenaan pesawat MH370, surat perjanjian dengan Singapura, Thailand dan Indonesia, minit-minit mesyuarat agensi- agensi yang berkenaan, memomemo dalaman dan Laporan Pencarian dan Penyelamat­an MH370 serta laporan bedah siasat.

Lima waris itu yang merupakan pemohon memfailkan permohonan kebenaran itu kelmarin di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Menteri Pengangkut­an, Ketua Setiausaha Kementeria­n itu dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dua pemohon itu ialah remaja berumur 18 dan 16 tahun yang merupakan anak kepada pasangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45, dan anak sulung mereka Tan Wei Chew, 19. Ketiga-tiga beranak itu adalah penumpang MH370.

Tiga lagi pemohon ialah ibu bapa kepada Ah Meng iaitu Tan Hun Khong, 87, dan Lai Chew Lai, 85, serta ibu kepada Hsiu Ling iaitu Chuang Hung Chien, 78, yang merupakan warga Taiwan.

Kelima- lima mereka memohon suatu perintah supaya responden-responden mendedahka­n dokumendok­umen itu, suatu deklarasi bahawa pemohon berhak ke atas dokumen dan ianya bukan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa keputusan mengklasif­ikasikan semua dokumen itu di bawah Akta Rahsia Rasmi adalah tidak munasabah dan responden gagal mengambil kira faktor yang relevan dan kepentinga­n awam ahli keluarga penumpang pesawat MH370.

Pada Januari 2015, Ketua Pengarah Jabatan Penerbanga­n Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumka­n bahawa kehilangan pesawat MH370 diisytihar­kan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbanga­n antarabang­sa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban.

Pesawat Boeing 777200ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabang­sa KL ( KLIA) pada 12.40 tengah malam, 8 Mac 2014 menuju ke Beijing dan sejam kemudian pesawat itu hilang daripada radar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia