Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki didenda RM4,300 miliki air dan daun ketum

-

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM4,300 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah memiliki 84,000 milimeter air ketum dan 9,312 gram daun ketum yang disimpanny­a di dalam stor, Mei lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhka­n hukuman denda RM2,500 atau penjara empat bulan bagi pertuduhan memiliki air ketum manakala denda RM1,800 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan memiliki daun ketum terhadap Muhamad Amin Omar, 21.

Dia juga didenda RM1,200 atau penjara tiga bulan dengan pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan selama dua tahun bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memiliki 84,000 milimeter air ketum (Mitragynin­e) dan 9,312 gram daun ketum seperti mana yang dinyatakan dalam Akta Racun 1983 tanpa sebarang kebenaran atau kuasa untuk memilikiny­a.

Bagi kedua- dua kesalahan itu, dia didakwa melakukann­ya di Lot 22, Jalan Klang Lama, Kampung Pasir Baru, Petaling di sini pada 1.50 pagi, 28 Mei lalu.

Tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa mengikut Seksyen 30(3) dan boleh dihukum menurut Seksyen 30( 5) Akta Racun 1952 (Pindaan 2003) yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Muhamad Amin turut mengaku bersalah atas pertuduhan telah memasukkan dadah jenis Metamfetam­ina ke dalam badannya di tandas Ibu Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik(IPD) Brickfield­s pada 2.35 pagi, 28 Mei lepas

Pertuduhan mengikut Seksyen 15( 1)( A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah selian pegawai pemulihan dengan tempoh maksimum tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memohon hukuman setimpal mengambil kira jenis racun, bilangan botol cecair dan berat daun ketum ini.

“Melihat kepada barang kes, ia bukan untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dijual. Saya mohon hukuman sebagai pengajaran supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama serta pengajaran kepada orang awam agar tidak mengambil cecair ataupun daun ketum,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia berasal daripada keluarga yang susah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota polis telah menyerbu sebuah premis dan tertuduh telah membawa anggota polis ke sebuah stor di mana polis menjumpai dua plastik hitam mengandung­i daun-daun ketum dan satu tong plastik mengandung­i 30 bungkus plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum serta 26 botol plastik yang di dalamnya berisi cecair disyaki air ketum. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia