Utusan Borneo (Sarawak)

Dua lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM462,000

-

GEORGE TOWN: Polis menumpaska­n satu sindiket memproses dan mengedar dadah apabila menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM462,000 dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Taman Seri Segar, Butterwort­h dekat sini Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menyerbu rumah yang turut dijadikan makmal memproses dadah itu pada jam 4.45 petang dan menahan dua sahabat berusia 42 dan 51 tahun itu.

“Serbuan itu dibuat hasil risikan sejak seminggu lepas dan hasil pemeriksaa­n polis menemui pelbagai jenis dadah dalam rumah yang sewa sindiket berkenaan antaranya ketamin seberat 8.1kg dan pil eramin 5 sebanyak 4,000 biji.

“Selain itu, kami turut merampas serbuk kafein seberat 25.6kg, heroin (0.107kg), syabu (0.51kg) dan pelbagai cecair kimia serta peralatan untuk memproses dadah di rumah berkenaan. Semua dadah itu bernilai RM462,000,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata berdasarka­n siasatan, dua lelaki terbabit menjadikan rumah itu sebagai tempat memproses dadah sejak sebulan lepas dan mereka dipercayai mempunyai kepakaran untuk memasak bahan itu.

Roslee berkata sindiket terbabit juga dipercayai berpindah randah dengan menyewa rumah dari satu kawasan ke kawasan lain di negeri ini untuk mem- proses dadah bagi mengelak dikesan polis.

Beliau berkata berdasarka­n siasatan, sindiket itu mendapatka­n bekalan untuk membuat dadah daripada negara jiran sebelum memprosesn­ya semula dan semua dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran di Pulau Pinang.

“Dalam serbuan itu, kami turut menyita wang tunai sebanyak RM2,500, sebuah kereta Honda Accord, tiga motosikal... semuanya bernilai RM20,280. Polis juga sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket memproses dan mengedar dadah terbabit,” katanya.

Beliau berkata dua lelaki yang tidak bekerja dan masing-masing mempunyai 12 serta tiga rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah itu direman sehingga 30 Julai ini bagi membantu siasatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia