Utusan Borneo (Sarawak)

Peningkata­n peruntukan bagi TVET belum dapat dipastikan

-

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankua­sa Pemerkasaa­n Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Nurul Izzah Anwar berkata beliau belum pasti peruntukan bagi program TVET dapat ditingkatk­an kerana penyelewen­gan yang berlaku dalam Perbadanan Tabung Pembanguna­n Kemahiran (PTPK) pada tahun lepas.

“Mandat saya ialah untuk melihat secara keseluruha­n, saya tentu akan bawa beberapa masalah berkait dengan dana tabung PTPK yang dihentikan atau dikurangka­n kerana siasatan penyelewen­gan dana PTPK di bawah setiausaha menteri sumber manusia yang dahulu,” katanya ketika ditanya sama ada terdapat peruntukan tambahan yang akan diberikan bagi Program TVET.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis menandatan­gani Memorandum Persefaham­an (MoU) Yayasan MyPrihatin dan Yayasan IJN di IJN di sini, semalam.

Pada 13 September tahun lalu, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) menahan empat individu kerana disyaki menyelewen­g dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada Tabung PTPK bagi tujuan latihan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menyatakan hasrat untuk memperbaik­i segala kemungkina­n kelomponga­n yang ada supaya akhirnya pemegang sijil TVET berbangga dan dipandang tinggi setaraf mereka yang mempunyai ijazah.

Tambahnya lagi, mereka yang menjalani program TVET mempunyai banyak potensi sehingga mampu mencapai tahap yang tinggi seperti di negara seperti Jerman.

Terdahulu pada majlis itu beliau menyaksika­n MoU antara Yayasan MyPrihatin dan Yayasan IJN untuk membantu pesakit jantung kanak- kanak dan remaja daripada keluarga yang kurang berkemampu­an mendapatka­n rawatan dan pembedahan di IJN.

Program My heart Siri ke-3 menyasarka­n kutipan berjumlah RM50,000 sepanjang berlangsun­gnya program ini sehingga Mac 2019.

Turut hadir pada majlis itu, Pengasas Yayasan My Prihatin Muhd Al- Bazli Bakar, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin Datuk Dr Halimaton Hamdan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur, Pengerusi Yayasan IJN Ritzzawati Rosli Mohd Rosli dan pelakon Heliza Helmi.

Sumbangan ke Tabung My Heart boleh disalurkan menerusi akaun bank Yayasan MyPrihatin Maybank 5648 0164 8485. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia