Utusan Borneo (Sarawak)

Melaka percepat pembinaan Pasar Besar kekal

-

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan berusaha mempercepa­tkan pembinaan pasar besar kekal di tapak lama bangunan Pasar Besar Melaka Sentral di sini kerana ia merupakan satu keperluan penting untuk rakyat khususnya di kawasan luar bandar yang bergantung pada pengangkut­an awam.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata bagaimanap­un pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Institut Kerja Raya Malaysia ( IKRAM) bagi penilaian selanjutny­a sebelum sebarang perancanga­n pembanguna­n baharu dapat dilakukan di tapak tersebut.

“Kita di peringkat Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha mempercepa­tkan proses pembinaan pasar besar kekal di negeri ini kerana ia merupakan satu keperluan penting untuk rakyat negeri ini dan kemungkina­n besar pasar ini akan kekal berhampira­n Melaka Sentral iaitu di tapak lama.

“Ia kerana kewujudan pasar perlu selari atau dilengkapi dengan kemudahan pengangkut­an awam terutama untuk masyarakat luar bandar untuk kemudahan dan keselesaan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar Transit di Bachang di sini, semalam.

Turut hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Tey Kok Kiew dan Exco Pertanian, Pem- bangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee.

Sebelum ini media melaporkan semua peniaga di Pasar Besar Melaka Sentral diarahkan berpindah ke Pasar Transit di Jalan Tun Fatimah di Bachang di sini selepas Ikram mendapati terdapat pergerakan aktif tanah di bawah bangunan pasar tersebut yang boleh mengundang bahaya sekiranya pasar itu tidak dikosongka­n dan diruntuhka­n segera.

Pasar Transit bernilai RM10 juta yang dibina di tapak seluas 1.86 hektar itu mula beroperasi 1 Nov tahun lepas, menyediaka­n lebih 300 ruang niaga, 232 parkir kereta dan 219 parkir motosikal.

Mengulas lanjut, Adly berkata pihaknya menjangkak­an perancanga­n pembanguna­n pasar baharu tersebut akan dapat dilakukan selewat-lewatnya awal tahun depan sekiranya Ikram dapat menyempurn­a dan menyerahka­n laporan terperinci kajian pergerakan tanah di kawasan berkenaan dalam tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata kawasan seluas 0.8 hektar bersebelah­an Pasar Transit berkenaan akan dijadikan parkir tambahan bagi mengurangk­an isu kekurangan tempat meletak kenderaan untuk menampung kedatangan pengunjung di pasar tersebut.

“Parkir kenderaan merupakan salah satu isu utama di pasar ini dan kita jangkakan parkir tambahan tersebut akan dapat beroperasi pada Ogos ini. Selain itu, kita juga akan melihat dan membantu menyelesai­kan beberapa isu berbangkit yang berlaku di pasar ini seperti masalah perparitan dan sewa,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga ayam Hashim Bachik, 59, dari Durian Daun di sini berkata beberapa kemudahan asas di pasar berkenaan seperti tandas awam dan sistem perparitan perlu dinaik taraf atau diperbaiki untuk keselesaan pengunjung dan peniaga selain bagi memelihara isu kebersihan di premis tersebut.

Beliau berkata tandas awam yang dibina tidak dapat menampung keperluan pengunjung dan peniaga dalam tempoh satu-satu masa manakala sistem perparitan yang tidak mengikut spesifikas­i menyebabka­n laluan air tidak berjalan lancar sehingga menyebabka­n takungan air di laluan gerai di pasar tersebut.

Seorang lagi peniaga ayam Ke Jok Kwee, 60, berkata parkir kenderaan yang terhad menyebabka­n pasar berkenaan kurang dikunjungi pengunjung sekali gus menjejaska­n hasil jualan dan pendapatan peniaga.

“Peniaga juga terpaksa bersaing dengan pasar raya berhampira­n kerana kemudahan parkir percuma dan isu kesesakan lalu lintas perlu segera diatasi kerana ia menyebabka­n pengunjung tidak gemar membeli belah di pasar ini,” katanya yang telah berniaga lebih 30 tahun. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia