Utusan Borneo (Sarawak)

Dua disyaki bunuh aktivis kulit hitam di Brazil ditangkap

-

RIO DE JANEIRO: Pihak berkuasa menangkap dua orang yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang aktivis hak orang berkulit hitam dan ahli politik berprofil tinggi di Brazil, kata polis Rio de Janeiro kelmarin.

Marielle Franco dibunuh pada 14 Mac lalu dalam apa yang dipercayai pembunuhan profesiona­l di tengah Rio.

Dua lelaki terbabit adalah bekas pegawai polis tentera Alan Nogueira, yang dikenali dengan nama timangan ‘Crazy Puppy’, dan bekas anggota bomba Luiz Claudio Barbosa.

Mereka ditangkap kerana membunuh seorang anggota polis dan seorang bekas anggota polis pada Februari 2017 hasil maklumat yang diberikan oleh seorang saksi yang dilindungi, yang mendakwa mereka juga terlibat dalam pembunuhan Franco.

Saksi itu telah bekerjasam­a dengan penyiasat yang meneliti pembunuhan ahli politik itu selama beberapa minggu dan menuding jari kepada dua tahanan berkenaan.

Kedua-dua mereka akan “disoal siasat berhubung kes Marielle Franco selain pembunuhan yang menyebabka­n mereka ditangkap”, kata pesuruhjay­a bahagian pembunuhan Willians Batista kepada Globo Television.

Media Brazil membuat spekulasi bahawa kedua-dua lelaki berada di dalam kenderaan dari mana tembakan telah dilepaskan sehingga membunuh Franco dan pemandunya.

“Ia masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada mereka berada di dalam kereta itu ataupun tidak, tetapi mereka dituduh mengambil bahagian dalam pembunuhan itu,” kata Batista.

Franco, seorang ahli majlis bandar raya berkulit hitam, telah menjadi pengkritik keganasan polis yang terkemuka di Rio dan apa yang beliau sebut sebagai penyasaran orang berkulit hitam di kawasan kejiranan setinggan yang dilanda kemiskinan di bandar raya itu.

Rakan sekerja berkata ahli politik berhaluan kiri itu dibunuh kerana dia telah menimbulka­n kemarahan polis dan kumpulan separa tentera bawah tanah dikenali sebagai militia.

Menteri Keselamata­n Raul Jungmann menuduh militia bertanggun­gjawab bagi pembunuhan itu.

Laporan menyebut Nogueira dan Barbosa merupakan anggota sebuah militia.

Selepas siasatan selama empat bulan yang tidak membuahkan hasil, kumpulan hak asasi manusia seperti Amnesty Internatio­nal telah menuntut inkuiri bebas.

Ahli majlis Rio, Marcello Siciliano, turut disoal siasat tentang pembunuhan itu tetapi menafikan sebarang pembabitan, dengan menyatakan dia “tidak pernah ada konflik politik” dengan Franco. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia