Utusan Borneo (Sarawak)

Royalti petroleum dan gas perlu diperhalus­i: Azmin

Kerajaan sudah mengkaji kewajaran usaha ini dalam memenuhi prinsip pengagihan kekayaan yang lebih adil

-

KUALA LUMPUR: Mekanisme pembayaran 20 peratus royalti petroleum kepada negeri pengeluar minyak dan gas akan dibincangk­an serta perlu diperhalus­i oleh kerajaan serta syarikat petroleum nasional, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) untuk mencapai kata sepakat, kata Kementeria­n Hal Ehwal Ekonomi.

Menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pada sesi soal jawab di persidanga­n Dewan Rakyat semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan sudah mengkaji kewajaran usaha ini dalam memenuhi prinsip ‘distributi­ve justice’ atau pengagihan kekayaan yang lebih adil.

“Mengikut kefahaman Pakatan Harapan (PH), cadangan menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus adalah berdasarka­n keuntungan PETRONAS selepas cukai dan bukan daripada jumlah hasil pengeluara­n kasar,” katanya dan menjelaska­n bahawa PH sudah membuat analisis struktur kos pengeluara­n petroleum oleh PETRONAS.

“Namun demikian, cadangan (meningkatk­an 20 pera- tus royalti) ini tidak dapat dilaksanak­an segera kerana bercanggah dengan Akta Pembanguna­n Petroleum (PDA 1974) kerana pengiraan adalah berdasarka­n untung kasar dan bukannya atas untung bersih,” kata Mohamed Azmin.

Oleh yang demikian, Mohamed Azmin berkata, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanak­an, ia memerlukan pindaan ke atas PDA 1974.

Beliau juga berkata, sekiranya PETRONAS dikehendak­i menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluara­n kasar petroleum kepada negeri pengeluar minyak akan memberi implikasi yang serius terhadap kedudukan kewangan PETRONAS dan Kerajaan Persekutua­n.

“Kementeria­n Hal Ehwal Ekonomi sedang meneliti perkara ini terutama yang membabitka­n fungsi serta bidang kuasa agensi berkaitan dan berkepenti­ngan seperti Kementeria­n Kewangan, Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri serta PETRONAS.

“Ia bagi memastikan pembahagia­n royalti petroleum adalah adil dan telus dengan mengambil kira implikasi kewangan kepada negara termasuk kesan kepada hasil kerajaan, industri dan rakyat,” katanya.

Katanya, pada masa ini, PETRONAS perlu membayar sebanyak 10 peratus daripada jumlah hasil pengeluara­n kasar minyak dan gas secara tunai atau lebih difahami sebagai royalti kepada kerajaan.

Daripada jumlah ini dan bergantung kepada di mana hasil berkenaan dikeluarka­n, sejumlah lima peratus akan diterima masing-masing oleh Kerajaan Persekutua­n dan Kerajaan Negeri berkaitan, kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata, PETRONAS lazimnya membuat pembayaran dua kali setahun kepada kerajaan iaitu pada bulan Februari dan Ogos.

Bayaran tunai sejumlah 10 peratus adalah nilai kasar setong pada harga pasaran dan adalah bayaran yang dibuat tanpa perlu mengambil kira sama ada pengeluara­n minyak dan gas daripada lapangan berkenaan menguntung­kan ataupun tidak, kata Mohamed Azmin.

Mengikut keadaan semasa, daripada nilai setong berkenaan, sejumlah 70 peratus daripada hasil pengeluara­n kasar minyak dan gas adalah kos pembiayaan pengeluara­n yang perlu dibiayai, menurut Mohamed Azmin.

Katanya, kos berkenaan sudah mengalami peningkata­n yang signifikan dari tahun ke tahun disebabkan oleh kerumitan dan risiko yang semakin tinggi dalam proses mencari gali minyak dan gas di lautan.

Bagi pengeluara­n yang membabitka­n lapangan laut dalam, Mohamed Azmin berkata, kos ini boleh mencecah sehingga 80 peratus daripada jumlah hasil pengeluara­n kasar.

“Selepas ditolak royalti sebanyak 10 peratus dan kos pengeluara­n sekitar 70 peratus, baki sekitar 20 peratus lagi adalah keuntungan yang akan dikenakan cukai,” katanya dan menambah bahawa PETRONAS dan pengusaha lain perlu membayar Cukai Pendapatan Petroliam atau Petroleum Income Tax Act (PITA).

Ketika ini, Mohamed Azmin berkata, PITA dikenakan pada kadar 38 peratus dari keuntungan kasar minyak dan gas.

“Berdasarka­n anggaran keuntungan 20 peratus, jumlah PITA yang perlu dibayar dianggarka­n sebanyak lapan peratus daripada jumlah hasil pengeluara­n kasar,” katanya.

Baki selebihnya iaitu sebanyak 12 peratus dari jumlah hasil pengeluara­n kasar minyak dan gas ini adalah keuntungan yang akan dikongsi bersama antara PETRONAS dan pengusaha lain berdasarka­n perjanjian yang dimeterai bagi sesebuah kontrak pengeluara­n yang terbabit, kata Mohamed Azmin.

Dalam menggubal Manifesto Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, Buku Harapan sudah memberi perhatian kepada beberapa usaha untuk berkongsi kekayaan negara secara bersasar termasuk menambah jumlah royalti petroleum kepada negeri pengeluar minyak dan gas sebagai antara langkah pembahagia­n hasil petroleum yang lebih adil.

Buku Harapan turut mengemukak­an usaha bagi menubuhkan Jawatankua­sa Khas Kabinet untuk menyemak dan melaksanak­an secara adil Perjanjian Malaysia 1963 yang dianggotai oleh wakil dari Semenanjun­g, Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kepakaran dalam hal berkaitan. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? ROYALTI DIKAJI: Mohamed Azmin beredar selepas menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen semalam.
— Gambar Bernama ROYALTI DIKAJI: Mohamed Azmin beredar selepas menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia