Utusan Borneo (Sarawak)

KERETA BERTEMBUNG LORI, SEORANG MAUT, DUA LAGI CEDERA

-

TATAU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kargo 10 tan di Kilometer 1 Jalan Tatau-Bintulu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Sarawak Superinten­den Alexson Naga Chabu berkata, kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa Galambong Awan, 46, yang datang dari arah Bintulu menuju ke Tatau terbabas ke laluan bertentang­an lalu bertembung dengan lori yang datang dari arah Tatau ke Bintulu.

Katanya, kemalangan itu menyebabka­n pemandu kereta maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan kelindan lori mengalami kecederaan.

Beliau berkata, pemandu kereta disahkan mati di tempat kejadian oleh paramedik Klinik Kesihatan Tatau dan mayatnya dibawa ke Rumah Mayat Hospital Bintulu.

“Kelindan lori yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Tatau sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu,” katanya dalam kenyataan semalam sambil menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987.

Galambong merupakan kakitangan Pejabat Daerah Tatau dari Rumah Sawing, Batu 23, Jalan Bintulu-Miri, manakala pemandu lori yang mengalami kecederaan ialah Hairil Amir, 33, dan kelindanny­a Lagak Asai, 25.

Dalam pada itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 10.33 pagi dan bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera LFRT bersama 12 anggota diketuai PBK II Bonnie Sera.

“Setibanya di tempat kejadian, pihak kami mendapati pemandu kereta tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Klinik Kesihatan,” ujar PBK II Bonnie dalam laporannya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak bomba bertindak mengeluark­an mangsa menggunaka­n peralatan dan seterusnya menyerahka­n mangsa yang berjaya dikeluarka­n kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Manakala pemandu dan kelindan lori telah dikeluarka­n orang awam dari dalam lori mereka.

“Dimaklumka­n pemandu lori mengalami kecederaan bahagian kaki serta pinggang, manakala kelindanny­a yang turut cedera diberi rawatan awal sebelum seterusnya dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Jelasnya, operasi menyelamat mangsa berakhir sekitar jam 11.30 pagi yang mana turut dibantu anggota polis dan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Tatau.

 ??  ?? TERSEPIT: Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluark­an mangsa dari tempat duduk pemandu.
TERSEPIT: Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluark­an mangsa dari tempat duduk pemandu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia