Utusan Borneo (Sarawak)

Guna logo halal tidak sah, kilang berdepan denda RM700,000

-

IPOH: Sebuah kilang makanan ringan di Chemor di sini berdepan tindakan denda sehingga RM700,000 jika disabit kesalahan kerana disyaki meletakkan logo halal tidak sah pada bungkusan makanan keluaranny­a.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Perak Shamsul Nizam Khalil berkata kilang yang telah beroperasi selama 20 tahun itu juga didapati mengeluark­an produk kacang tanah yang telah tamat tempoh sijil halalnya.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang tersebut pernah memiliki sijil pengesahan halal untuk produk kacang tanah pada 2014 tetapi telah tamat tempoh pada April 2016.

“Manakala produk makanan ringan pek mainan (gula gula dalam kereta mainan) pihak kilang disyaki menggunaka­n logo halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam negeri,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya pihak penguatkua­sa telah menyita sebanyak 479 unit pek mainan telah siap dibungkus, 445 unit pek mainan belum dibungkus dan 59 bungkusan kacang tanah bernilai RM1,198 untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan ( Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan namun pihaknya telah merakam percakapan seorang lelaki berumur 45 yang mengaku sebagai pengurus kilang.

“Produk kilang tersebut yang dipasarkan kepada pemborong sekitar Perak dan Selangor juga perlu ditarik semula,” katanya.

Dalam perkembang­an berkaitan, Shamsul Nizam berkata bagi kesalahan melibatkan isu halal, empat kes dikesan membabitka­n nilai rampasan berjumlah lebih RM3,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai 2018.

Sementara itu, bercakap mengenai operasi catut 4.0 Shamsul Nizam berkata bermula 1 Jun sehingga 26 Julai, pihaknya menerima 92 aduan dan telah menjalanka­n pemeriksaa­n terhadap 4,856 premis sekitar Perak.

Daripada jumlah itu, 46,246 barangan diperiksa dan dua kertas siasatan dibuka masing-masing melibatkan sebuah restoran makanan segera di Ipoh dan kedai menjual ubat-ubatan di Kampar.

Secara keseluruha­n sebanyak 40,842 pemeriksaa­n dilakukan di Perak bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Julai melibatkan 373 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM561,847 dan kompaun berjumlah RM45,450. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia