Utusan Borneo (Sarawak)

‘Tak janggal bermain dengan spanar’

-

MENGENDALI alatan membaiki kereta bagaikan satu permainan buat Adlina Syazlin Faizul, walaupun tiga tahun lalu dia tidak mengenali walaupun sebutir spanar.

Adlina Syazlin, 21, berkata minat dalam bidang automotif bermula sejak dia melanjutka­n pelajaran di Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom di Pekan dalam jurusan Diploma in Automotive Service Technology.

Berkat usaha dan tidak malu pada awalnya untuk mengakui dirinya ‘kosong’ dalam bidang automotif, Adlina Syazlin mampu tersenyum apabila dinamakan sebagai penerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesye­n ke-5 universiti tersebut dengan Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.98 baru-baru ini.

“Saya mahu bergelar sebagai jurutera automoif, jadi saya rasakan penting untuk saya tahu setiap bahagian dalam kereta kerana saya langsung tidak tahu, malah tidak mempunyai lesen memandu semasa mula mendaftar di sini.

“Semuanya dipelajari di bengkel. Awal-awal dahulu memang janggal bagi saya, tapi pensyarah sentiasa beri galakan kepada saya selepas melihat keazaman saya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas majlis konvokesye­n itu di Pekan, baru-baru ini.

Adlina Syazlin yang berasal dari Bukit Jelutong, Shah Alam berkata dia bersyukur kerana ayahnya Faizul Kamaruddin, 59, sering berkongsi bahan bacaan berkaitan bidang automotif di laman media sosial.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu menambah, dia kini sedang mengikuti kelas bahasa Jerman bagi memenuhi syarat untuk mengisi borang melanjutka­n pelajaran ke negeri itu dalam bidang kejurutera­an automotif.

“Saya berharap dapat terbang ke sana pada awal tahun hadapan... impian saya adalah untuk menjadi jurutera Mercedes-Benz di negara itu, walaupun perlu bekerja di sini terlebih dahulu kerana terikat dengan kontrak biasiswa,” katanya.

Memilih bidang yang jarang disertai wanita, Adlina Syazlin berkata dia tidak melihatnya sebagai satu cabaran, kerana sentiasa dikeliling­i oleh rakan lelaki yang ‘positif’.

Dia juga mengakui pengalaman menjadi satu-satunya wanita semasa menjalani latihan industri di pusat kereta import di Glenmarie, Shah Alam juga membina karakter dirinya untuk lebih berdaya saing.

Bagi penerima Anugerah Naib Canselor, Salfril Samad, 23, mencari keseimbang­an dalam bidang akademik dan sosial merupakan ‘resepi’ kejayaanny­a sehingga mendapat keputusan CGPA 3.96 dalam Diploma in Automotive Service Technology.

“Saya percaya jika kita terlalu menekan diri dalam bidang akademik, ia boleh menjejaska­n keputusan. Kemahiran sosial juga penting dan di sini saya tidak melupakan aktiviti boling, bola sepak dan sering keluar bersama rakan-rakan.

“... penting kita kena tahu keutamaan dan bila masa untuk serius belajar. Saya sendiri memikul beberapa tanggungja­wab termasuk mewakili universiti ke beberapa pertanding­an, tapi semuanya dilakukan secara seronok dan tanpa tekanan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor universiti itu Profesor Datuk Seri Dr Omar Osman berkata hampir 90 peratus graduan mereka berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Katanya, kejayaan itu ekoran dasar universiti yang bukan hanya memberi penekanan kepada keupayaan teknikal, namun juga terhadap kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran komunikasi yang disarankan dalam industrial revolusi, IR4.0.

“Selain itu, pihak DRB-HICOM juga telah memperuntu­kkan hampir RM52 juta untuk memberi bantuan kewangan kepada lebih 3,000 pelajar dan daripada jumlah itu, biasiswa penuh berjumlah lebih RM40 juta diberikan kepada 300 pelajar,” kata beliau.

Omar menambah universiti itu yang setakat ini telah melahirkan seramai 1,157 graduan sejak ditubuhkan pada 2010 juga akan melahirkan kumpulan pertama graduan ijazah sarjana dan pasca siswazah pada tahun hadapan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia