Utusan Borneo (Sarawak)

PH Sarawak akan umum cadangan Perjanjian Tawaran Baharu

-

KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan mengumumka­n cadangan Perjanjian Tawaran Baharu yang akan dibawa ke jawatankua­sa khas kabinet bagi melihat penguatkua­saan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen selaku pengerusi PH Sarawak pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di sini semalam.

Ahli Parlimen Stampin itu memberitah­u, pengumuman cadangan Perjanjian Tawaran Baharu tersebut akan diumumkan hari ini bersama Menteri Kerja Raya Baru Bian yang juga timbalan pengerusi PH Sarawak.

“Semua Ahli Parlimen PH termasuk Baru akan hadir pada pengumuman cadangan Perjanjian Tawaran Baharu yang akan dibuat di luar sidang Parlimen esok (hari ini).

“Jawatankua­sa khas kabinet yang akan dibentuk nanti akan melihat cara lain untuk perkongsia­n hasil minyak secara adil dan saksama oleh kerajaan,” katanya.

Chong menjelaska­n bahawa cadangan Perjanjian Tawaran Baharu itu nanti lebih baik berbanding yang pernah diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah negara ini kepada Sarawak.

Tambahnya, cadangan Perjanjian Tawaran Baharu itu dibuat ekoran Kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak tawaran yang diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita cuba cara lain demi menjaga kepentinga­n rakyat Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu, Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa mengumumka­n bahawa Sim Kiat Leng dilantik sebagai pembantu khas beliau yang baharu bagi menjaga hal ehwal di kawasan yang diwakiliny­a.

“Beliau akan bersama Aziz Isa dan Christina Chew membantu menjaga kawasan yang diwakili saya.

“Justeru, penduduk di kawasan yang diwakili saya boleh menghubung­i Sim di talian 016-4262210,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan Pengerusi DAP Sri Aman Leon Jimat Donald.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia