Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan tunggu maklum balas berhubung bantuan yang diperlukan

-

SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersetuju menawarkan bantuan mencari dan menyelamat (SAR) serta pemulihan bagi mangsa kejadian gempa bumi di Nusa Tenggara Barat dan Lombok yang berlaku pagi semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan menunggu maklum balas daripada kerajaan Indonesia berhubung bentuk bantuan yang dikehendak­i mereka.

“Setakat ini, tiada permintaan (bantuan SAR atau pemulihan) daripada pihak Indonesia, tetapi kita tawarkan bantuan itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri jamuan teh bersama jentera PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini semalam.

Turut hadir calon PKR bagi PRK berkenaan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika mengulas kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Nusa Tenggara Barat dan Lombok pagi semalam, yang turut mengorbank­an seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Siti Nur Ismawida Ismail berusia 30 tahun.

Mangsa dilaporkan menyertai 17 warga Malaysia lain dalam misi pendakian ke gunung berapi Rinjani di Lombok Timur, ketika kejadian.

Menurut Ketua Polis Lombok Timur, M.Eka Fahurrahma­n, mangsa terkorban akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan.

“Sebanyak 18 warga Malaysia dalam misi mendaki Gunung Rinjani, enam cedera manakala yang lain selamat,” kata M. Eka Fahurrahma­n.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata Siti Nur Ismawida merupakan anggota PKR yang berasal dari Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Dalam perkembang­an lain, timbalan perdana menteri menyatakan bahawa kerajaan telah menghantar 22 pegawai bagi melaksanak­an misi bantuan kemanusiaa­n di Laos yang dilanda banjir besar akibat ribut tropika Son-Tinh, baru-baru ini.

Laos dilaporkan dilanda bencana apabila empangan hidro yang sedang dibina di negara itu pecah, menyebabka­n sebahagian besar kawasan tenggelam. — Bernama

Setakat ini, tiada permintaan (bantuan SAR atau pemulihan) daripada pihak Indonesia, tetapi kita tawarkan bantuan itu. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Timbalan Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia