Utusan Borneo (Sarawak)

Sokongan PAS tidak jejaskan peluang PKR menang PRK Sg Kandis

-

SHAH ALAM: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sokongan terbuka PAS kepada BN tidak akan menjejaska­n peluang parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Kecil ( PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Beliau berkata ketetapan yang dibuat parti Islam itu tidak akan menjejaska­n sokongan pengundi terhadap calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni atau lebih mesra digelar Ustaz Zawawi yang ternyata mempunyai keilmuan dalam agama untuk menarik sokongan pengundi.

“Saya rasa (sokongan terbuka PAS terhadap calon BN) tidak (jejaskan peluang PKR menang PRK Sungai Kandis). PRK ini adalah antara UMNO dan PKR.

“PAS boleh menyokong mana- mana calon... tetapi calon kami mempunyai kelayakan ustaz yang akan menarik pengundi untuk memberi sokongan bagi mengekalka­n kerusi PKR,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis minum petang bersama pengundi dan jentera PKR di Bilik Gerakan PKR di sini semalam.

Anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali semalam dilaporkan meminta pengundi PAS di Sungai Kandis untuk memilih calon BN Datuk Lokman Noor Adam pada PRK itu selepas mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak menegakkan serta menjaga agama Islam.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatk­an pengundi supaya tidak berasa selesa dengan mengambil keputusan tidak keluar mengundi pada PRK tersebut kerana beranggapa­n PKR akan menang mudah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia