Utusan Borneo (Sarawak)

Siput gondang bawa rezeki sampingan nelayan sungai

-

TEMERLOH: Siput gondang biasanya dikaitkan sebagai perosak tanaman padi yang menyebabka­n pesawah mengalami kerugian jika tanaman mereka diserang makhluk perosak ini.

Keadaan ini, bagaimanap­un berbeza sama sekali buat nelayan sungai, Safri Mohamed 45, yang memperoleh sumber pendapatan sampingan dengan menjual siput gondang yang dikatakan mampu dijadikan penawar pelbagai penyakit.

Beliau yang menetap di Kampung Bolok Hilir, Lanchang di sini mampu meraih hampir RM150 setiap minggu dengan menjual siput gondang di Pekan Sehari Temerloh pada setiap Ahad.

Katanya siput gondang yang dijual berbeza dengan siput gondang perosak padi iaitu siput gondang emas kerana ia lebih besar dan boleh dijadikan makanan kesihatan kepada penghidap penyakit buasir, berak berdarah dan lelah.

“Siput gondang yang saya jual ini diperoleh dari anakanak sungai sekitar Lanchang dan tidak beracun untuk dimakan, bahkan boleh dijadikan penawar penyakit jika dijadikan amalan,” ka- tanya ketika ditemui di Pekan Sehari Temerloh di sini semalam.

Safri yang dibantu isteri, Rosmawati Ismail, 45, mempunyai pelanggan tetap di tapak niaganya berhampira­n jeti Taman Esplanade itu dan biasanya mampu menghabisk­an satu guni siput gondang setiap kali berniaga.

Katanya biasanya setiap longgok siput gondang antara tujuh hingga sembilan ekor berharga RM5 dan beliau akan membantu menunjukka­n kepada pelanggan bagaimana untuk membuang cengkerang serta isi perut dengan kaedah yang betul.

“Rasanya macam pedal ayam, agak liat dan boleh dihidangka­n dengan cara dibakar atau goreng tanpa kunyit untuk lebih mujarab,” katanya.

Beliau berkata tidak ada peniaga lain yang menjual siput gondang di pekan sehari itu turut menjadi punca jualannya sentiasa laris setiap kali berniaga.

Pelanggan luar yang ingin mendapatka­n bekalan siput gondang ini boleh berjumpa dengannya di pekan sehari Temerloh pada setiap Ahad, katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERKHASIAT: Safri menunjukka­n siput Gondang yang dijualnya di pekan sehari Temerloh dekat Temerloh, semalam.
— Gambar Bernama BERKHASIAT: Safri menunjukka­n siput Gondang yang dijualnya di pekan sehari Temerloh dekat Temerloh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia