Utusan Borneo (Sarawak)

Kedah pertahan Gunung Pulai demi kekalkan alam sekitar dan penduduk

-

BALING: Kerajaan Kedah akan berusaha untuk membatalka­n rancangan projek kuari batu di Gunung Pulai yang memberi ancaman kepada alam sekitar dan penduduk.

Pengerusi Jawatankua­sa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga dan Alam Sekitar, Simon Oii Tze Min berkata, bagaimanap­un ia memerlukan masa dan kajian memandangk­an pelbagai aspek perlu diambil kira.

“Projek ini diluluskan kerajaan sebelum ini pada 1996 dan kami sangat mengambil berat dan prihatin terhadap masalah yang akan dihadapi penduduk sekiranya projek ini berjalan.

“Kami akan kaji (batalkan projek), mungkin ia boleh dilakukan dan kami berhasrat ke arah itu namun perkara ini memerlukan sedikit masa untuk dikaji terutama melibatkan aspek perundanga­n,” katanya ketika di temui pemberita selepas melawat dan meninjau kaki Gunung Pulai di sini semalam.

Hadir sama, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam ( PEKA), Kolonel Bersekutu (PA) Puan Seri To’ Puan Shariffa Sabrina Syed Akil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris.

Terdahulu, lebih 300 penduduk yang menetap di Kampung Pulai, Kampung Sungai Limau dan Kampung Dalam Wang yang mewakili lebih 1,000 penduduk di situ membantah projek pembinaan kuari di sekitar Gua Kelambu di Gunung Pulai.

Selain memberi ancaman kepada kesihatan dan keselamata­n penduduk, mereka juga mendakwa kegiatan kuari tersebut akan memusnahka­n lokasi bersejarah di Gunung Pulai serta alam sekitar yang terdapat di gua- gua berhampira­n termasuk Gua Sirih, Gua Kambing, Gua Pari dan Gua Harimau yang menjadi tarikan pelancong dan sukan ekstrem.

Sementara itu, Simon turut menjelaska­n projek tersebut melibatkan dua syarikat lain dan bukan hanya Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKED) Holding Sdn Bhd.

“Projek ini juga perlu pengambila­n tanah orang kampung untuk mewujudkan akses jalan dan sehingga waktu ini, status pengambila­n adalah fasa menunggu laporan nilaian dari Jabatan Penilaian dan untuk itu, mereka tak boleh lagi jalankan projek,” katanya.

Mengikut cadangan projek, 32 lot tanah dengan 29 lot bermilik dan tiga lot kerajaan terlibat dalam pengambila­n tanah bagi pembinaan jalan sepanjang 1.6 kilometer dari jalan utama dengan hampir 1.4 km melalui kawasan bendang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia