Utusan Borneo (Sarawak)

Beri perhatian syarikat terlibat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo

-

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) agar memberi perhatian terhadap syarikat yang terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Ini kerana, beliau tidak berpuas hati apabila kira-kira 80 peratus daripada laluan yang dibina adalah mengikut bentuk jalan sedia ada.

Meskipun lebuh raya yang dibina itu mencapai garis panduan R5 dari JKR, namun beliau mahu laluan yang seterusnya dibina secara lurus dan bukannya mengikut bentuk laluan sedia ada.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke tapak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Checkpoint Batu 32 di sini.

Pembinaan lebuh raya itu dibahagika­n kepada 35 pakej dengan lima projek daripadany­a sedang dijalankan.

Mengulas lanjut, Calvin berkata bagi projek pembinaan dari Checkpoint Batu 32 hingga Lot M melibatkan jarak sejauh 18.125 kilometer dengan kos sebanyak RM494 juta.

Oleh itu, beliau berharap agar dengan kos sebesar itu, pihak kontraktor akan melakukan kerja dengan lebih baik dengan mengambil kira aspek kemudahan untuk pengguna jalan raya dan bukannya atas kemudahan sendiri.

Dalam pada itu, Calvin juga berharap agar Kerajaan Negeri Sabah dapat memberi keutamaan kepada kontraktor dari negeri ini dalam pembinaan lebuh raya itu.

Difahamkan, semua kos pembinaan termasuk penyelenga­raan adalah ditanggung oleh JKR.

Berikutan itu, beliau akan terus memberi perhatian dalam projek berkenaan sekaligus membawa perkara itu ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mencari penyelesai­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia