Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan Sarawak sumbang RM10,000 kepada keluarga guru mangsa kebakaran

-

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyumbang RM10,000 kepada keluarga Nur Syuhada Azhari, salah seorang guru yang cedera dalam insiden kebakaran kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu, Rabu lalu.

Sumbangan itu disampaika­n Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong kepada ibu Nur Syuhada, Hamidah Zakaria di sini semalam.

Penyerahan sumbangan itu disaksikan suami Syuhada, Muhammad Rohaizad Abdul Rahim serta ahli keluarga yang lain dan Pemangku Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus serta pegawai- pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Ibu Nur Syuhada dan beberapa ahli keluarga yang lain tiba dari Kelantan untuk bersama mangsa selepas beliau dipindahka­n dari Hospital Miri ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Jumaat lepas untuk mendapatka­n rawatan lanjut di Wad Kebakaran/Plastik.

Suami mangsa, Rohaizad yang bekerja di Kuala Lumpur, datang ke Miri Rabu lepas sebaik dimaklumka­n kejadian menimpa isterinya. Beliau di sini turut ditemani ahli keluargany­a.

Manyin dan pegawai-pegawai JPNS meluangkan masa untuk berbual dengan keluarga Nur Syuhada sambil memberi kata-kata semangat kepada mereka.

Difahamkan keadaan Nur Syuhada sudah bertambah baik bagaimanap­un beliau mungkin masih perlu menjalani pembedahan dijadualka­n semalam atau hari ini.

Beliau terbakar 20 peratus pada bahagian badan terutama kedua- dua tangannya dan masih sukar bercakap.

Rohaizad ketika ditemui berkata beliau berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan rakyat Sarawak yang amat prihatin dan berdoa untuk isterinya.

Beliau dan Nur Syuhada, masing-masing berusia 27 tahun, baharu sebulan mendirikan rumah tangga pada Syawal lalu.

“Ahli keluargany­a ( Nur Syuhada) datang ke sini untuk berada di sampingnya dan memberi sokongan moral,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru yang cedera dalam insiden itu, Siti Masrina Nian ketika ini masih di Hospital Miri kerana keadaannya dilaporkan tidak serius.

Beliau juga akan menerima sumbangan RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak yang menubuhkan tabung bantuan bagi membantu mangsa.

Tabung itu dilancarka­n Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Rabu lepas dengan dana permulaan RM50,000 daripada Kerajaan Sarawak.

“Dana ini akan disalurkan menerusi Tabung Perayaan Hari Guru Negeri Sarawak, yang diurus oleh pengarah JPNS,” kata Manyin.

Orang ramai dialu-alukan memberi sumbangan dan ia boleh dilakukan menerusi Bank Rakyat, dengan nombor akaun 1112710076­4.

Kebakaran di SK Batu Bungan, yang meragut nyawa Catherine Janet Tiwi, telah mencetuska­n gesaan baharu kepada kerajaan persekutua­n untuk membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah usang di luar bandar serta pedalaman Sarawak.

 ??  ?? RINGANKAN BEBAN: Manyin (dua kanan) menyerahka­n sumbangan RM10,000 kepada ibu Nur Syuhada, Hamidah, sambil disaksikan Rohaizad (kiri), Mat Ali (dua kanan) serta yang lain.
RINGANKAN BEBAN: Manyin (dua kanan) menyerahka­n sumbangan RM10,000 kepada ibu Nur Syuhada, Hamidah, sambil disaksikan Rohaizad (kiri), Mat Ali (dua kanan) serta yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia