Utusan Borneo (Sarawak)

Mercy Malaysia perlu dana RM500,000 untuk misi di Laos dan Lombok

-

KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia memerlukan dana sebanyak RM500,000 bagi melancarka­n misi bantuan kemanusiaa­n di Lombok, Indonesia dan Laos.

Pembantu setiausaha kehormatny­a, Ahmad Faezal Mohamed berkata dana berkenaan diperlukan bagi menyediaka­n bantuan perubatan serta barangan keperluan asas seperti selimut, makanan dan air minum yang bersih.

Beliau yang juga Ketua Misi Kemanusian ke Laos berkata pihaknya bercadang memulih dan membina kira-kira 300 buah rumah yang rosak akibat bencana.

“Ketika ini satu pasukan terdiri daripada sembilan anggota iaitu lima daripadany­a anggota perubatan telah dihantar ke Laos pada 27 Julai lepas.

“Mereka ini memberikan bantuan perubatan kepada mangsa- mangsa dan akan berada sehingga 13 Ogos ini, kita akan lihat keperluan sekiranya perlu hantar pasukan baharu,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Exco Mercy Malaysia Norazam Abu Samah yang mengetuai misi bantuan Lombok berkata pasukannya terdiri daripada empat anggota telah dihantar bagi memberi bantuan kecemasan dan membuat penilaian rumah yang terjejas.

“Mereka tiba hari ini di Lombok dan akan berada selama tujuh hari bagi membuat penilaian rumah penduduk yang rosak akibat daripada gempa bumi itu,” katanya.

Laos dilanda banjir apabila empangan hidro yang sedang dibina di negara itu pecah dan menyebabka­n sebahagian besar kawasan sekitar tenggelam.

Ahad lepas, satu gempa bumi bermagnitu­d 6.4 telah menggegar Lombok mengorbank­an 14 orang, termasuk seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan ketika kejadian itu.

Terdahulu, Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal menerima cek berjumlah RM200,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Foundation Shahril Azuar Jimin. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia