Utusan Borneo (Sarawak)

Tertuduh ketujuh mengaku padam nombor casis, enjin kereta Kevin Morais

-

KUALA LUMPUR: Tertuduh ketujuh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais mengaku bahawa dia telah membantu bekas tertuduh kedua memadamkan nombor casis dan nombor enjin kenderaan Kevin Morais pada 4 Sept 2015, hari mangsa dilaporkan hilang.

S. Ravi Chandaran, 47, memberitah­u Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia melakukan perkara itu setelah didesak G. Gunasekara­n, bekas tertuduh kedua dalam kes itu yang telah bebas.

Beliau berkata, proses pemadaman nombor casis dan nombor enjin terhadap kereta jenis Proton Perdana V6 milik Kevin Morais itu dilakukan di sebuah bengkel di Sunway Mentari, Selangor selepas kereta yang dipandu Kevin Morais dilanggar di Jalan Dutamas Raya di sini.

“Jay ( Gunasekara­n) ada bertanya saya macam mana hendak melupuskan keterangan (identifika­si) kenderaan, saya beritahu jika kita hilangkan nombor casis dan nombor enjin, keterangan kereta akan hilang. Saya bertanya kenapa, pada masa itu Jay berkata untuk (memadamkan identifika­si) kereta ini,” katanya.

Ravi Chandaran berkata demikian semasa pemeriksaa­n utama oleh Peguam V. Rajehgopal pada prosiding bela diri hari ke-18 semalam.

Menceritak­an lanjut, tertuduh berkata dia ketika itu terkejut dan tertekan dengan permintaan Gunasekara­n yang lebih dikenaliny­a sebagai Jay itu.

Kepada soalan Rajehgopal kenapa tertuduh terkejut dan tertekan, Ravi Chan- daran berkata kerana dalam pengetahua­nnya pemadaman nombor casis dan nombor enjin dilakukan pada kenderaan curi sahaja sedangkan kereta Kevin Morais sepatutnya dihantar untuk dibaiki selepas terlibat pelanggara­n dengan kenderaan Mitsubishi Triton dipandu tertuduh keenam, S. Nimalan, 25, pada hari sama.

“Jay mendesak saya memadamkan atau menghilang­kan nombor casis dan nombor enjin. Saya tanya kenapa, dia tidak ceritakan, dia kata dia adalah kawan saya dan mesti ada sebab jika dia kata apa-apa,” katanya yang menambah dia kemudian tidak membantah permintaan Jay itu lalu membantu Jay melakukan proses pemadaman tersebut.

Ravi Chandaran bagaimanap­un berkata dia yang berterusan sangsi dengan tindakan Jay itu kemudian telah pergi ke sebuah pejabat di Berkeley, Klang, di sini, untuk berjumpa dengan seorang doktor, pada hari sama.

Menjawab soalan Rajehgopal, siapakah doktor itu dan apakah kaitannya dengan Jay, tertuduh berkata doktor itu ialah Kolonel Dr R. Kunaseegar­an yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu dan dia yang telah lama mengenali Dr Kunaseegar­an pernah memperkena­lkan Jay kepada doktor itu.

Tertuduh turut memberitah­u tujuannya bertemu Dr Kunaseegar­an adalah untuk bertanyaka­n doktor itu tentang pemadaman nombor casis dan enjin kereta kerana Dr Kunaseegar­an sebelum ini juga pernah bertanyaka­n perkara sama kepadanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia