Utusan Borneo (Sarawak)

Komunis pengganas, tidak layak diangkat sebagai pejuang

-

KANGAR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Perlis menegaskan, pihak komunis akan selamanya kekal sebagai pengganas dan tidak layak diangkat sebagai pejuang kemerdekaa­n.

Yang Dipertuany­a Datuk Idrus Kassim berkata, setiap kekejaman yang dilakukan pihak komunis terhadap pasukan keselamata­n negara merupakan fakta sejarah yang tidak mampu diubah dan akan diingat selamanya.

“Pengganas tetap pengganas dan sampai bila-bila pun tidak boleh dimegahmeg­ahkan untuk diangkat mereka sebagai pejuang,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau mengulas forum bertajuk ‘ Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?’ yang dianjurkan ‘ Imagined Malaysia’ bagi membincang­kan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaa­n dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.

Dalam forum tersebut, beberapa panelis menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai semula buku teks Sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaa­n puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Idrus berkata forum seumpama itu tidak sepatutnya diadakan secara terbuka kerana ia amat sensitif terutama kepada keluarga yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

“Semua orang tahu tentang kekejaman komunis, buat apa nak dibincangk­an lagi. Lebih dikesali isu ini turut dibangkitk­an oleh orang berbangsa Melayu sedangkan majoriti yang menjadi mangsa kekejaman komunis adalah orang-orang dan askar Melayu.

“Pihak penganjur sepatutnya lebih berhati-hati dalam memilih tajuk dan sebaiknya dirujuk kepada pihak berkaitan kerana apabila ada rasa tidak puas hati rakyat, akan timbul huru- hara dalam negara,” katanya.

Idrus juga berharap kerajaan PH tidak akan melayan sebarang cadangan berhubung perkara tersebut walaupun ia datang daripada penyokong PH sendiri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia