Utusan Borneo (Sarawak)

Lembaga pengarah baharu Khazanah letak hala tuju perniagaan yang jelas

-

KUALA LUMPUR: Pelantikan lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd yang baharu, yang turut terdiri daripada pakar dunia korporat, akan meletakkan hala tuju perniagaan dan operasi yang lebih jelas untuk dana pelaburan strategik kerajaan itu maju ke hadapan, justeru meningkatk­annya ke tahap yang lebih tinggi.

Ketua Penyelidik sebuah firma penyelidik­an yang tidak mahu dikenali berkata, kemasukan Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin, dengan latar belakang badan pengawalse­liaan yang kukuh akan memastikan Khazanah mematuhi prinsip tadbir urus korporat dan kedaulatan undang-undang.

Katanya, pengalaman luas Tan Sri Mohd Hassan Marican dalam menerajui Petronas untuk berada dalam kalangan syarikat Fortune Global 500, akan menambah nilai kepada Khazanah dalam mengembang­kan portfolio pelaburann­ya.

“Mereka akan melaksanak­an perkara yang betul sebagaiman­a mandat diberikan kepada syarikat berkenaan dengan tadbir urus korporat yang bersesuaia­n. Mereka akan memandu Khazanah bagi memastikan ia tidak melakukan sesuatu selain itu (mandat).

“Struktur pelaburan masa depan Khazanah juga akan menjadi lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Jabatan Perdana Menteri kelmarin, menamakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Khazanah sementara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Mohd Hassan, Sukhdave dan Goh sebagai pengarah.

Mohamed Azmin adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, manakala Sukhdave adalah bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, sementara Mohd Hassan adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS.

Goh pula berkhidmat sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif di Shangri-La Hotels (Malaysia) Bhd sejak 28 Feb, 2018. Beliau adalah Pengarah Eksekutif Strategi dan Pembanguna­n, Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia dari 2007 hingga 2016.

Sebelum ini, sembilan anggota lembaga pengarah Khazanah, termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Jawatankua­sa Eksekutif, Tan Md Nor Md Yusof, meletakkan jawatan pada 26 Julai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia