Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Selangor tumpaskan dua sindiket Macau Scam

-

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaska­n dua sindiket penipuan Macau Scam yang masing- masing didalangi warga Korea Selatan dan rakyat tempatan, menerusi serbuan berasingan di Ampang dan Petaling Jaya pada 26 dan 30 Julai lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata seramai 41 individu berusia 18 hingga 38 tahun diberkas termasuk 10 warga Korea Selatan serta seorang rakyat Vietnam.

“Dalam serbuan pertama di sebuah banglo mewah dua tingkat di Ampang, tujuh lelaki dan tiga wanita Korea Selatan ditahan selepas disyaki menjalanka­n penipuan dalam talian yang dipercayai mengarah kepada Macau Scam. Wanita warga Vietnam yang turut ditahan merupakan pembantu rumah mereka,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Mazlan berkata kesemua suspek yang berusia 20 hingga 36 tahun berkenaan mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mereka dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi namun menyasarka­n mangsa di luar negara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap modus operandi mereka untuk mengenal pasti jika ada mangsa warga tempatan terlibat,” katanya, menambah polis merampas pelbagai peralatan telekomuni­kasi yang dipercayai digunakan untuk kegiatan sindiket antaranya penghala dan penyesuai Internet.

Mazlan berkata dalam serbuan kedua di sebuah banglo mewah di Petaling Jaya pula, 30 warga tempatan termasuk lapan wanita diberkas selepas dipercayai menjalanka­n kegiatan sama apabila polis menemui satu dokumen berupa skrip perbualan telefon bagi tujuan menipu di rumah berkenaan.

Tiga daripada lelaki terbabit dipercayai ketua sindiket dan sindiket ini menyasarka­n warga tempatan, katanya menambah polis sedang menyiasat jumlah mangsa yang diperdaya oleh kumpulan itu.

“Skrip perbualan telefon itu merupakan cara untuk memperdaya mangsa dan ia diajar kepada anggota sindiket. Mereka akan menelefon dan menyamar menjadi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia termasuk polis dan Bank Negara Malaysia, mengatakan mangsa terlibat dengan kes-kes tertentu.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket akan menelefon mangsa secara rawak, ada juga golongan profesiona­l termasuk doktor ditipu oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan telekomuni­kasi antaranya 37 unit telefon bimbit, komputer tablet dan penghala Internet selain wang tunai RM40,000 yang dipercayai digunakan untuk operasi.

Menurut Mazlan, sindiket itu dipercayai telah lama beroperasi memandangk­an tiga ketuanya yang berumur 29, 36 dan 37 tahun mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau antaranya berkaitan dadah serta pelbagai kegiatan jenayah dan jenayah komersil.

Katanya polis sedang menyiasat lebih lanjut sama ada sindiket tempatan itu terlibat dengan kumpulan kongsi gelap atau sebarang penganjura­n perjudian dalam talian.

Menurutnya buat masa ini polis sedang menyiasat jumlah sebenar kerugian melibatkan kedua-dua sindiket dan tidak menolak kemungkina­n angkanya membabitka­n jutaan ringgit.

“Kedua-dua kes tersebut disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis mengucapka­n terima kasih kepada orang awam yang sering menyalurka­n maklumat berkaitan bagi membantu menyelesai­kan jenayah komersil tersebut,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia