Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga ditahan edar dadah di Taiping

-

IPOH: Tiga beradik ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taiping kelmarin kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ACP V. R. Ravi Chandran berkata dalam serbuan di Taman Pengkalan Maju, Simpang kira-kira jam 10.30 pagi itu, polis turut menahan isteri kepada salah seorang daripada adik beradik berkenaan dan seorang rakan mereka.

Katanya dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin bernilai RM14,250.

“Dadah jenis heroin seberat 460 gram dan syabu seberat tiga gram dijumpai di salah satu bilik dalam rumah itu.

“Selain itu, polis turut menyita tiga kereta, dua motosikal, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM60,480,” katanya pada sidang media di IPK Perak di sini, semalam.

Ravi Chandran berkata ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang berumur 13 hingga 33 tahun negatif dadah, manakala semakan lanjut mendapati dua beradik dan rakan mereka itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya kesemua suspek direman tujuh hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Dalam kes berasingan, Ravi Chandran berkata hasil maklumat orang awam polis menahan lima lelaki berusia 39 hingga 40 tahun dalam tiga operasi berasingan di Ipoh baru-baru ini.

Beliau berkata tangkapan pertama pada 11.30 pagi Isnin lalu melibatkan seorang lelaki di kawasan Taman Kledang Permai, Menglembu di sini dan heroin seberat 17.2 gram bernilai RM516 berjaya dirampas.

Katanya susulan tangkapan tersebut, sejam kemudian polis menahan tiga lelaki di sebuah restoran di kawasan sama yang mem- bawa penemuan 200 paket heroin bernilai RM9,750 di sebuah pondok di kawasan Taman Rasi Jaya.

Dalam pada itu, beliau berkata seorang lelaki berumur 37 tahun ditahan bersama heroin seberat kirakira 431 bernilai RM12,944 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Bertuah di sini, kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.

“Suspek yang tidak bekerja itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya sambil menambah lelaki itu direman tujuh hari mulai kelmarin hingga 6 Ogos. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DIRAMPAS: Ravi Chandran (kanan) menunjukka­n rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak (IPK) semalam.
— Gambar Bernama DIRAMPAS: Ravi Chandran (kanan) menunjukka­n rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak (IPK) semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia