Utusan Borneo (Sarawak)

Polis rampas 31.11kg dadah bernilai RM1.56 juta

-

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia ( PDRM) menahan empat lelaki warga tempatan dan merampas 31.11 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarka­n bernilai RM1.56 juta dalam serbuan di Kajang dan Tanjung Malim pada Isnin malam (30 Julai).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ( JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata tiga suspek ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah, di Sungai Long, Kajang pukul 9 malam hingga kira-kira 10.55 malam oleh sepasukan polis JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Katanya selain tiga lelaki berumur 23 hingga 27 tahun itu, polis turut menahan seorang lagi suspek lelaki, 52 tahun, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Tanjung Malim pada hari yang sama.

“Melalui dua serbuan ini, kami percaya dadah ini adalah untuk pasaran Sabah, Sarawak dan tempatan bagi 103,000 penagih dadah melalui penggunaan keldai dadah dan perkhidmat­an kurier.

“Selain dadah (syabu) yang dirampas, polis turut menyita empat buah kenderaan, dua motosikal dan sejumlah wang tunai yang dianggarka­n bernilai RM79,000,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata keempatemp­at suspek yang bekerja sendiri itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan negatif ujian saringan.

Tambahnya, tiga suspek yang ditahan di Kajang itu akan direman hingga 6 Ogos manakala seorang lagi suspek direman sehingga Jumaat ini.

Menurutnya, tangkapan ini merupakan susulan daripada kes rampasan dadah 100 kilogram di Sandakan, Sabah oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia( JKDM) pada Februari dan April lalu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia