Utusan Borneo (Sarawak)

Slot Piala Malaysia kepada juara Piala Cabaran pada masa depan

-

PETALING JAYA: Juara Piala Cabaran yang julung kalinya diperkenal­kan pada tahun ini mungkin akan mendapat peluang untuk beraksi dalam Piala Malaysia pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya bagaimanap­un memerlukan tempoh satu hingga dua tahun untuk memperkena­lkan format kelayakan baharu ke Piala Malaysia itu.

Edisi sulung Piala Cabaran yang akan berlangsun­g dari 7 Ogos hingga 13 Oktober, merupakan kejohanan untuk memberikan peluang kepada pasukan Liga Malaysia (LigaM) yang gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia, selepas kejohanan berprestij itu kembali diasingkan daripada kalendar Liga-M.

“Untuk dua tahun pertama ini, kami mahu fokus dahulu untuk menganjurk­an pertanding­an yang stabil, teratur dan menyampaik­an produk yang menarik kepada penganjur.

“Jika dua musim pertama ini semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, baharu imbuhan ke Piala Malaysia boleh diperkenal­kan.

“Kita perlu kemukakan cadangan ini kepada Lembaga Pengarah MFL sebelum ia diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Undian Piala Cabaran Musim 2018 di sini, semalam.

Kevin berkata bahawa, jika jumlah penyertaan dalam Piala Cabaran ditingkatk­an daripada lapan pasukan ke 16 pasukan pada masa akan datang, pasukan dari Divisyen Tiga, iaitu Piala FAM, turut boleh meraih peluang untuk beraksi dalam Piala Malaysia buat julung kali sekiranya muncul juara.

Bagi musim ini, lapan pasu- kan yang bertanding ialah pasukan di tempat terakhir Liga Super, Negeri Sembilan; enam pasukan tercorot Liga Premier iaitu UKM FC, UiTM FC, Terengganu FC II, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) serta satu pasukan jemputan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pada awalnya kami mahu jemput empat pasukan teratas Piala FAM, tetapi mereka kini fokus untuk meraih kelayakan ke Liga Premier. Jadi kita ambil keputusan untuk menjemput ATM yang gagal layak ke separuh akhir Piala FAM,” katanya.

Ditanya mengenai harga tiket, Kevin berkata penentuan harga tiket terletak kepada pasukan tuan rumah, dan ada kemungkina­n akan ada pasukan yang memberikan kemasukan percuma kepada penyokong mereka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia