Utusan Borneo (Sarawak)

TENGKORAK RETAK, PENDARAHAN DALAMAN PUNCA KEMATIAN NURNIA

-

SIBU: Keputusan bedah siasat menunjukka­n kematian Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, berpunca daripada keretakan tengkorak dan pendarahan dalaman kepala.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, punca berkenaan dikenal pasti susulan bedah siasat mayat mangsa oleh pakar patalogi Dr Norliza Ibrahim dari Jabatan Forensik HUS Kuching sekitar jam 3 pagi semalam.

“Doktor pakar menyimpulk­an bahawa punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan kepala akibat hentakan kuat menggunaka­n benda tumpul,” katanya ketika dihubungi semalam.

Stanley berkata, bedah siasat mendapati mangsa mengalami banyak kesan kecederaan akibat oleh trauma benda tumpul.

“Kecederaan yang dialami mangsa tertumpu pada bahagian muka, kepala dan leher menyebabka­n pendarahan di bawah selaput dan permukaan otak, retak tengkorak dan lebam yang menyeluruh di bawah kulit kepala,” jelasnya lagi.

Bagaimanap­un, Stanley memberitah­u ujian lanjut makmal akan dilakukan untuk mendapat keputusan lebih terperinci.

Nurnia, yang merupakan penjawat awam, ditemui mati dengan kaki dan tangan terikat di bilik sewanya di Jalan Tiong Hua di sini petang Khamis lalu.

Dalam perkembang­an berkaitan, Stanley berkata polis telah mengambil kenyataan seorang peniaga telefon bimbit berhubung siasatan kes tersebut.

Peniaga telefon bimbit itu dalam ‘posting’ menerusi akaun Facebookny­a mendakwa seorang lelaki telah datang ke kedainya sekitar jam 10.30 pagi, 2 Ogos lalu untuk meminta bantuan membuka kata laluan telefon bimbit yang dia terlupa dan didakwa milik isterinya.

“Ketika saya membukanya, saya melihat gambar seorang wanita bertudung. Pada jam 5 petang, saya telah membaca berita dalam talian mengenai pembunuhan seorang wanita di Jalan Tiong Hua.

“Saya terkejut melihat wajah wanita itu dalam berita yang menyerupai gambar yang saya lihat di telefon bimbit itu,” kata peniaga tersebut.

Stanley berkata, salah satu telefon bimbit milik mangsa didapati hilang dan kemungkina­n diambil oleh suspek kes berkenaan.

Beliau menambah, polis masih meneruskan usaha untuk mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Philip Uja, 40-an, berasal dari Kanowit bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

“Kita masih mempergiat­kan usaha mencari lelaki itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia