Utusan Borneo (Sarawak)

GST sifar, namun harga barang asas di pedalaman masih mahal

-

MIRI: Harga barangan keperluan asas terutama makanan di kebanyakan kawasan pedalaman Telang Usan masih mahal walaupun selepas pelaksanaa­n Cukai Barang dan Perkhidmat­an ( GST) pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, hasil tinjauan beliau sendiri ke kedai runcit di beberapa kampung antaranya Long Luteng dan Long Palai, mendapati harga barang tidak turun.

“Sebelum ini harga barangan di pedalaman khususnya Baram mahal kerana berpunca daripada GST. Sekarang GST sudah tiada, jangankan turun bahkan naik.

“Justeru, saya merayu kepada kementeria­n berkaitan agar turun padang untuk memastikan harga barang tidak terus melonjak sebagaiman­a yang dijanjikan sebelum pilihan raya tempoh hari,” kata Dennis kepada Utusan Borneo semalam.

Dennis mencadangk­an agar Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) menghantar pegawai penguat kuasa untuk memantau harga barangan keperluan di kawasan pedalaman.

“Saya berharap kerajaan pusat di bawah Pakatan Harapan dapat berbuat sesuatu untuk membantu mengurangk­an kos sara hidup rakyat di pedalaman seperti yang dijanjikan sebelum 9 Mei lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kedai runcit di Long Luteng berkata, mereka tidak dapat menurunkan harga barangan pada kadar sifar GST kerana harga pembekal di Miri masih tidak turun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia