Utusan Borneo (Sarawak)

Kanak-kanak dua tahun maut, empat cedera dalam kemalangan dekat Kulai

-

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun maut manakala empat yang lain cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta lain di Km14.5 Lebuh Raya UtaraSelat­an dekat Kulai, awal semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian melibatkan kereta Proton Perdana dan Volvo itu dilaporkan berlaku pada jam 3.24 pagi dan mangsa, Terry Ong Teck Rui, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulai.

Mereka yang cedera ialah pemandu Proton Perdana Hee Zhi Yew, 20 (lelaki) serta dua penumpang wanitanya iaitu Teoh Pei Wen, 20, dan Yap Lee Hua, 48, serta pemandu kereta Volvo berkenaan.

“Siasatan awal mempercaya­i kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Hee yang dinaiki kanak- kanak serta dua wanita berkenaan dilanggar dari arah belakang oleh kereta Volvo dipandu seorang lelaki berumur 37 tahun.

“Kemalangan menyebabka­n kesemua pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan mengalami kecederaan. Kesemua mangsa dibawa ke hospital dan seorang penumpang iaitu kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata lokasi ke- malangan merupakan jalan lurus dua lorong dua hala yang dipisahkan oleh besi pembahagi jalan serta tiada sebarang halangan di atas permukaan jalan.

Katanya sehingga kini pihaknya belum menerima laporan daripada pemandu kereta Volvo berkenaan, dipercayai kerana masih menerima rawatan akibat kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia