Utusan Borneo (Sarawak)

Pertumbuha­n PKS meningkat kepada 7.2 peratus pada 2017

-

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat pertumbuha­n 7.2 peratus kepada RM435.1 bilion pada 2017 (2016: 5.2 peratus) di semua sektor ekonomi utama termasuk perkhidmat­an, pembuatan dan pertanian, kata Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Darell Leiking.

Beliau berkata, sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara meningkat kepada 37.1 peratus pada 2017 berbanding 36.6 peratus pada 2016.

“Menjelang 2020, rancangan PKS untuk menyumbang 41 peratus kepada KDNK negara akan dicapai, eksport akan mencecah 23 peratus dan pekerjaan 65 peratus,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media mengenai prestasi PKS untuk 2017 di sini, semalam.

Darell berkata, pada masa hadapan, PKS dijangka memainkan peranan yang lebih besar, bukan sahaja sebagai pemboleh tetapi juga sebagai pemacu utama pertumbuha­n.

Menurutnya, sejak 14 tahun yang lalu (2004-2017), pertumbuha­n KDNK sebenar PKS secara konsisten men- gatasi ekonomi keseluruha­n, dengan purata 6.6 peratus berbanding 5.1 peratus pertumbuha­n untuk keseluruha­n KDNK.

“Dari segi eksport, PKS mencatat pertumbuha­n lebih tinggi sebanyak 7.9 peratus pada 2017 berbanding 7 peratus pada 2016, berikutan kenaikan eksport komoditi seperti minyak kelapa sawit dan getah serta produk pembuatan, terutama elektrik dan elektronik,” katanya.

Ketika ditanya sama ada SME Corp akan terus kekal di bawah kementeria­nnya, Darell berkata: “Ya sudah tentu”.

“Ia adalah keseluruha­n blok kami. Setiap satu di MITI mempunyai peranan untuk dimainkan, jadi ia adalah komponen yang tidak boleh diambil dan kami akan pastikan ia berada dalam keluarga kami,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan yang jabatan ekonomi utama dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang dipengerus­i atau di bawah pengawasan perdana menteri, mungkin diletakkan di bawah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia