Utusan Borneo (Sarawak)

Naib Presiden PKR Fuziah perjelas tindakan tanding ketua wanita

-

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Fuziah Salleh menjelaska­n tindakan beliau kembali bertanding jawatan ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bertujuan mempertaha­nkan agenda reformasi yang diperjuang­kan parti itu.

Fuziah yang pernah memegang jawatan ketua Wanita PKR antara tahun 2000 hingga 2007 berkata parti itu memerlukan pemimpin yang mempunyai prinsip jelas dalam memperjuan­gkan agenda parti.

“Ramai tanya kenapa saya mahu kembali (tanding ketua Wanita), seolah-olah turun pangkat tetapi semua ini bagi membawa agenda reformasi yang akan membawa rakyat dan negara ke arah lebih baik,” katanya selepas menghantar borang pencalonan jawatan ketua Wanita di ibu pejabat PKR di sini, semalam.

Borang pencalonan beliau dicadangka­n oleh Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Selangor Rodziah Ismail dan disokong Pengarah Strategik Biro Latihan Akademi Keadilan Dr Zaliha Mustafa.

Selain itu, hanya dua borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan ( AMK) telah dihantar kepada Jawatankua­sa Pemilihan Pusat (JPP) PKR 2018, setakat jam 12.30 tengah hari semalam.

Borang berkenaan dihantar sendiri oleh keduadua calon berkenaan iaitu Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Melaka Naqiuddin Nazrin telah menghantar borang pencalonan bagi jawatan timbalan ketua AMK. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia